Handal Energy terima surat tunjuk sebab Bursa Malaysia berhubung risiko dinyahsenarai susulan gagal kemuka laporan tahunan 2025

LocalBusiness & Finance
2 Nov 2026 • 5:33 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Handal Energy terima surat tunjuk sebab Bursa Malaysia berhubung risiko dinyahsenarai susulan gagal kemuka laporan tahunan 2025 Image from: Handal Energy terima surat tunjuk sebab Bursa Malaysia berhubung risiko dinyahsenarai susulan gagal kemuka laporan tahunan 2025 hamden02/11/2026 - 17:33 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Nov - Handal Energy Berhad memaklumkan telah menerima surat tunjuk sebab daripada Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) berhubung kemungkinan penyahsenaraian sekuritinya daripada Senarai Rasmi Pasaran Utama selepas gagal mengemukakan laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, pihaknya menerima surat bertarikh 2 November 2026 daripada Bursa Securities yang mengarahkan syarikat itu menjelaskan mengapa sekuritinya tidak sepatutnya dinyahsenaraikan, selaras dengan Perenggan 9.28(6) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.

 

Notis berkenaan dikeluarkan selepas Bursa Malaysia mendapati Handal gagal mengumumkan laporan tahunan FY2025, termasuk penyata kewangan tahunan teraudit berserta laporan juruaudit dan pengarah.

 

Laporan tahunan itu sepatutnya dikemukakan pada 30 April 2026, mengikut Perenggan 9.23(1) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama, namun masih belum diserahkan sehingga kini, iaitu melebihi enam bulan daripada tarikh akhir ditetapkan.

 

Susulan notis itu, Bursa Malaysia memberikan tempoh lima hari pasaran kepada Handal, sehingga atau sebelum 10 November 2026, untuk mengemukakan representasi bertulis bagi menjelaskan mengapa sekuritinya tidak sepatutnya dinyahsenaraikan.

 

Handal berkata, pihaknya kini sedang menyediakan representasi bertulis berkenaan untuk dikemukakan kepada Bursa Malaysia dalam tempoh ditetapkan.

 

Kumpulan itu menambah, sekiranya Bursa Malaysia memutuskan untuk menyahsenaraikan syarikat itu, sekuriti Handal akan dikeluarkan daripada Senarai Rasmi Bursa Securities selepas tamat tempoh tujuh hari pasaran daripada tarikh pemberitahuan keputusan berkenaan, atau pada tarikh lain yang ditetapkan oleh Bursa Securities.

 

Bagaimanapun, penyahsenaraian itu tidak akan dilaksanakan sekiranya Handal mengemukakan rayuan dalam tempoh yang ditetapkan.

 

Sebaliknya, jika Bursa Malaysia memutuskan untuk tidak menyahsenaraikan syarikat itu, tindakan lain yang bersesuaian dan/atau penalti masih boleh dikenakan mengikut Perenggan 16.19 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama.

 

Lembaga Pengarah Handal berkata, pihaknya akan membuat pengumuman lanjut mengenai sebarang perkembangan material berhubung perkara itu dari semasa ke semasa. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved