Sarawak terima dana RM2.8 bilion termasuk projek tebatan banjir Kuching bernilai RM2.48 bilion

LocalEnvironment
21 Oct 2026 • 11:21 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Sarawak terima dana RM2.8 bilion termasuk projek tebatan banjir Kuching bernilai RM2.48 bilion Image from: Sarawak terima dana RM2.8 bilion termasuk projek tebatan banjir Kuching bernilai RM2.48 bilion hamden21/10/2026 - 11:21

KUCHING 21 Okt - Dana Persekutuan sehingga RM2.8 bilion telah diluluskan di bawah Rolling Plan pertama 2026 bagi melaksanakan projek utama untuk mengurangkan risiko banjir dan memperkukuh perlindungan kepada penduduk di seluruh negeri.

 

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, antara projek utama di bawah peruntukan itu ialah Pelan Mitigasi Banjir (FMP) Fasa 2 bandar raya Kuching yang bernilai RM2.48 bilion.

 

Beliau berkata, kelulusan projek berkenaan diumumkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Mei lalu.

 

"FMP ini merupakan pelaburan penting bagi perlindungan banjir di Kuching. Sejak itu, bengkel penilaian nilai (VA) dan kejuruteraan nilai (VE) telah dirancang untuk diadakan pada awal November 2026, bagi memastikan projek ini kekal mengikut perancangan untuk pelaksanaan fizikal dari 2027 hingga 2033," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan menteri pada persidangan DUN, semalam.

 

Menurutnya, apabila siap kelak, projek lencongan Sungai Sarawak sepanjang enam kilometer itu dijangka melindungi 470,233 penduduk dan kawasan seluas 47,264 hektar di Greater Kuching.

 

Dr Sim, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah, berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan projek berkenaan dimulakan mengikut jadual.

 

Projek mitigasi banjir Sungai Miri dan Limbang

Sementara itu, tiga pakej lain di bawah projek Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak, dengan jumlah kos RM191 juta, kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan fizikal dan disasarkan siap antara suku kedua hingga suku ketiga 2027.

 

Projek mitigasi banjir Sungai Miri dan Limbang turut sedang dilaksanakan, dengan kedua-duanya disasarkan siap pada suku pertama 2028.

 

Dalam perkembangan berkaitan, pelaksanaan Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) Fasa 2 dan 3 di Sarawak melibatkan pelaburan keseluruhan RM207.99 juta bagi meningkatkan keupayaan pemantauan hidrologi negeri itu.

 

Dr Sim berkata, selain 400 stesen sedia ada di seluruh Sarawak, program berkenaan akan melibatkan pembinaan 254 stesen telemetri baharu serta kerja menaik taraf 279 stesen sedia ada.

 

Setelah kedua-dua fasa dilaksanakan sepenuhnya, Sarawak dijangka mempunyai sejumlah 654 stesen telemetri yang beroperasi.

 

Beliau turut memaklumkan bahawa sejak Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) diperkenalkan pada 2015, sebanyak 4,967 projek diluluskan untuk dilaksanakan oleh JPS Sarawak di bawah inisiatif berkenaan.

 

"Daripada jumlah itu, sebanyak 4,365 projek atau 88% telah siap, manakala baki 602 projek masih dalam pelaksanaan pada pelbagai peringkat," kata lapor Borneo Post Online.

 

Selain itu, JPS turut dipertanggungjawabkan oleh beberapa agensi pembangunan wilayah untuk melaksanakan 77 projek berkaitan mitigasi banjir dan saliran di seluruh Sarawak, melibatkan jumlah peruntukan RM188.87 juta.

 

Dr Sim berkata, sebanyak 25 projek di bawah peruntukan itu telah siap, manakala baki 52 projek masih berada pada pelbagai peringkat sebelum pelaksanaan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved