Handal tangguh lagi laporan tahunan 2025 kali ke-7, sasaran baharu 28 Oktober 2026

Business & Finance
16 Oct 2026 • 9:58 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Handal tangguh lagi laporan tahunan 2025 kali ke-7, sasaran baharu 28 Oktober 2026 Image from: Handal tangguh lagi laporan tahunan 2025 kali ke-7, sasaran baharu 28 Oktober 2026 liza16/10/2026 - 09:58 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Okt – Handal Group Berhad sekali lagi menangguhkan penerbitan laporan tahunan 2025, menjadikannya penangguhan kali ketujuh setakat ini dengan tarikh sasaran terbaharu ditetapkan pada 28 Oktober 2026.

 

Handal pada asalnya perlu menerbitkan laporan tahunan 2025 pada 30 April 2026, namun tarikh itu ditangguhkan sebanyak lima kali sebelum syarikat mengumumkan pada 6 Ogos bahawa penerbitannya disasarkan selewat-lewatnya pada akhir Oktober.

 

Pada 11 Ogos, Handal menetapkan 15 Oktober sebagai sasaran baharu sebelum sekali lagi menangguhkannya kepada 28 Oktober menerusi pengumuman terbaharu hari ini.

 

Mengikut keperluan penyenaraian Bursa Malaysia, syarikat tersenarai yang gagal menerbitkan penyata kewangan tertunggak dalam tempoh enam bulan selepas tarikh akhir yang ditetapkan boleh berdepan prosiding penyahsenaraian, selain tindakan penguatkuasaan oleh bursa.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Handal berkata kelewatan berulang itu berlaku ketika proses audit bagi tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2025 masih belum dimuktamadkan dengan beberapa dokumen dan pengesahan tambahan masih diperlukan oleh juruaudit luar, SBY Partners PLT.

 

“Penerbitan laporan tahunan bersama penyata kewangan beraudit bergantung pada penyelesaian audit, kelulusan penyata kewangan oleh Lembaga Pengarah serta pemeteraian laporan juruaudit.

 

“Antara perkara yang masih perlu diselesaikan ialah penerimaan pengesahan daripada peguam yang mengendalikan kes undang-undang kumpulan serta penyediaan laporan terkini berkaitan litigasi dan pengiraan liabiliti luar jangka,” katanya.

 

Menurut syarikat itu, kedua-dua laporan berkenaan sedang dimuktamadkan dan dijangka diserahkan kepada juruaudit bermula 19 Oktober 2026.

 

Perkara lain yang masih dalam tindakan termasuk penjelasan lanjut mengenai aset tertentu, akaun pengurusan terkini dan penilaian perakaunan bagi Tenzin Heavy Machinery (M) Sdn Bhd.

 

Juruaudit minta dokumen tambahan

Handal berkata juruaudit mengemukakan permintaan maklumat tambahan dalam beberapa pertemuan sepanjang September dan Oktober, termasuk akaun pengurusan syarikat-syarikat dalam kumpulan setakat 30 September 2026 serta unjuran aliran tunai terkini.

 

Akaun pengurusan berkenaan diserahkan pada 7 Oktober, manakala unjuran aliran tunai dikemukakan pada 8 Oktober 2026.

 

Dalam pertemuan pada 8 Oktober, juruaudit turut meminta maklumat terkini mengenai kes undang-undang syarikat, pengesahan daripada peguam dan laporan terkini pengiraan liabiliti luar jangka. Permintaan tambahan dikenal pasti sekali lagi dalam pertemuan pada 12 Oktober.

 

Pada 13 Oktober, juruaudit mengeluarkan permintaan pengesahan secara langsung kepada peguam yang mewakili Handal dan anak syarikatnya bagi pelbagai perkara undang-undang kumpulan.

 

Pada 15 Oktober, juruaudit turut mengemukakan senarai perkara tertunggak berkaitan peristiwa selepas tarikh pelaporan yang melibatkan Handal dan 11 anak syarikatnya.

 

Permintaan itu merangkumi penyata bank bagi tempoh 1 Julai hingga 30 September 2026, senarai gaji dan penyata caruman berkanun bagi tempoh sama, selain laporan pengumuran penghutang untuk sebuah anak syarikat.

 

Handal berkata maklumat tambahan itu diperlukan bagi membolehkan juruaudit melaksanakan prosedur audit, sekali gus menyumbang kepada masa tambahan yang diperlukan untuk menyelesaikan proses berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved