liza16/10/2026 - 18:16 Kerjasama itu turut mencerminkan komitmen bersama PETRONAS dan Petrovietnam untuk menyokong keselamatan tenaga, kelestarian serta penciptaan nilai jangka panjang Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt – PETRONAS dan Vietnam National Industry – Energy Group (Petrovietnam) memperluas kerjasama strategik dalam industri tenaga menerusi pemeteraian Perjanjian Pakatan Strategik (SAA) sebagai satu lagi perkembangan baharu dalam hubungan kedua-dua organisasi yang telah terjalin selama 35 tahun.
Perjanjian itu menyediakan rangka kerja bagi kedua-dua pihak memanfaatkan kekuatan masing-masing dan meneroka peluang perniagaan merentasi rantaian nilai tenaga, termasuk pembangunan huluan minyak dan gas, gas asli cecair (LNG), aktiviti hiliran serta penyelesaian rendah karbon.
PETRONAS berkata kerjasama itu turut mencerminkan komitmen bersama PETRONAS dan Petrovietnam untuk menyokong keselamatan tenaga, kelestarian serta penciptaan nilai jangka panjang.
Perjanjian berkenaan ditandatangani di ibu pejabat Petrovietnam oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petrovietnam, Le Manh Cuong.
Pertukaran dokumen perjanjian itu kemudiannya berlangsung di Kompleks Kerajaan Vietnam disaksikan Perdana Menteri Vietnam, Le Minh Hung bersama Tengku Muhammad Taufik dan Pengerusi Petrovietnam, Le Ngoc Son.
Perluas peluang merentasi rantaian nilai tenaga
Penglibatan kepimpinan kedua-dua organisasi itu mengesahkan komitmen mereka untuk memperkasa kerjasama industri bagi menyokong keselamatan tenaga dan pembangunan jangka panjang Vietnam.
Menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak akan meneroka peluang dalam sektor huluan, termasuk pembangunan minyak dan gas, selain memperluas potensi kerjasama dalam perniagaan gas dan LNG.
Peluang dalam sektor hiliran serta penyelesaian rendah karbon turut menjadi sebahagian daripada skop kerjasama berkenaan, selaras dengan usaha memenuhi keperluan tenaga yang semakin berkembang.

PETRONAS bertapak di Vietnam sejak 1991
PETRONAS mula bertapak di Vietnam pada 1991 menerusi pelaburan pertamanya dalam sektor huluan, sekali gus menjadi antara pelabur antarabangsa perintis dalam industri minyak dan gas negara itu.
Sejak itu, kehadiran PETRONAS berkembang merangkumi sektor minyak dan gas, petrokimia, tenaga boleh baharu serta LNG, disokong kerjasama jangka panjang dengan Petrovietnam dan rakan kongsi tempatan yang lain.
Hubungan itu turut berkembang kepada kerjasama tenaga serantau, termasuk inisiatif tenaga boleh baharu tiga negara yang melibatkan Vietnam, Malaysia dan Singapura.
Dalam inisiatif berkenaan, Malaysia berperanan sebagai hab transit elektrik dan pusat permintaan tenaga, manakala Singapura turut menjadi pusat permintaan utama.
PETRONAS berkata, pihaknya kekal komited untuk bekerjasama dengan Petrovietnam bagi menyokong keperluan tenaga Vietnam yang terus berkembang, di samping membuka peluang kerjasama tenaga lebih luas di peringkat serantau.
Perjanjian itu menjadi kerangka bagi memperluas kerjasama kedua-dua organisasi dalam pelbagai bidang tenaga. - DagangNews.com






