sarah16/10/2026 - 13:09 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 16 Okt - Turiya Bhd melantik Nor Shahmir Nor Shahid, 55, yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perbankan pelaburan dan pengurusan korporat, sebagai Pengarah Urusan baharunya berkuat kuasa 15 Oktober 2026.
Menurut makluman syarikat kepada Bursa Malaysia, Nor Shahmir mempunyai kepakaran dalam penstrukturan semula perniagaan, pasaran modal hutang dan ekuiti, pemerolehan dana, penggabungan dan pengambilalihan (M&A) serta pembiayaan projek dan korporat.
Sepanjang kerjayanya, beliau pernah memegang pelbagai jawatan di peringkat lembaga pengarah, pengurusan tertinggi dan kanan dalam syarikat tersenarai serta institusi kewangan utama di Malaysia dan luar negara.
Pengalaman beliau turut merangkumi usaha pemulihan perniagaan, penggabungan dan pengambilalihan berskala besar, pengurusan kepentingan pelbagai pihak berkepentingan serta pelaksanaan strategi untuk meningkatkan nilai pemegang saham.
Turiya berkata, pengalaman luas Nor Shahmir dalam bidang korporat dan kewangan, kepimpinan strategik serta pemahaman terhadap pasaran serantau dijangka menyumbang kepada usaha kumpulan memperkukuh operasi perniagaan, meneroka peluang pertumbuhan mampan dan mewujudkan nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan.
Nor Shahmir memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 1995 dan merupakan Akauntan Bertauliah serta ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA) sejak April 2018. Beliau juga merupakan pengarah Aurelius Technologies Bhd, dengan pengumuman Bursa Malaysia turut mengesahkan bahawa beliau tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pengarah atau pemegang saham utama Turiya, konflik kepentingan mahupun pegangan sekuriti dalam kumpulan. - DagangNews.com





