Hannah Yeoh Syukur Nama Dibersihkan Selepas Lima Tahun Berdepan Fitnah

LocalPolitics
14 Jul 2026 • 5:06 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Hannah Yeoh Syukur Nama Dibersihkan Selepas Lima Tahun Berdepan Fitnah

Hannah Yeoh Syukur Nama Dibersihkan Selepas Lima Tahun Berdepan Fitnah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan kebenaran merayu oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai penamat kepada perjuangan undang-undang selama lima tahun untuk membersihkan namanya daripada dakwaan fitnah.

Menerusi satu hantaran di Facebook, Hannah berkata beliau selama ini berdepan pelbagai tuduhan. Ini termasuk didakwa mahu menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, selain dilabel sebagai "duta Tuhan", anti-Islam dan membawa agenda evangelis.

Menurutnya, tuduhan tersebut bukan sahaja disuarakan di pentas politik. Malah, ia disebarkan secara meluas menerusi video di media sosial seperti TikTok serta turut membawa kepada laporan polis terhadap dirinya.

Katanya, walaupun sudah lima tahun berlalu, dakwaan sama masih terus dimainkan dengan mengetepikan fakta serta menggunakan isu agama untuk menimbulkan ketakutan terhadap individu yang berbeza kepercayaan.

Lima tahun berjuang

Hannah berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu membuktikan bahawa tuduhan palsu tidak boleh dibiarkan menjadi seolah-olah benar hanya kerana diulang berkali-kali.

"Hari ini, saya mendapat keadilan dan nama saya telah dibersihkan," katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan peguamnya yang diketuai Datuk Ambiga Sreenevasan bersama Razlan Hadri Zulkifli, Lim Wei Jiet, Sangeet Kaur Deo, Lee Guo Wen dan Nevyn Vinosh atas usaha mereka sepanjang proses perundangan tersebut.

Selain itu, Hannah turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terus memberikan kepercayaan dan sokongan kepadanya sepanjang tempoh berkenaan.

Seru hentikan politik fitnah

Dalam kenyataannya, Hannah menegaskan bahawa perbezaan pendapat dalam politik adalah perkara biasa. Namun, ia tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menyebarkan fitnah atau memainkan sentimen kaum dan agama.

Beliau mengingatkan agar sokongan politik tidak dibina melalui penyebaran tuduhan palsu.

Selain itu, beliau menyeru masyarakat supaya tidak menghukum seseorang berdasarkan pegangan agama tanpa menilai fakta dan tindakan individu tersebut.

"Dalam politik, kita boleh berbeza pendapat. Kita boleh mengkritik. Kita boleh berdebat dengan keras.

"Namun jangan bina sokongan politik dengan fitnah. Jangan jadikan kaum dan agama sebagai senjata untuk menghancurkan nama seseorang. Dan jangan hukum seseorang berdasarkan agamanya sebelum melihat fakta dan tindakannya," tambahnya.

Hannah berkata beliau akan terus melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota pentadbiran berdasarkan undang-undang, fakta dan kepentingan rakyat tanpa mengira kaum atau agama.

Baca juga:

Hari ini, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintahkannya membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 kepada Hannah Yeoh dalam kes saman fitnah.

Keputusan itu sekali gus mengekalkan penghakiman Mahkamah Rayuan yang memihak kepada Hannah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved