KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mendedahkan penyeludup petrol RON95 menjadikan kereta persendirian jenis Proton Wira, Waja dan Iswara sebagai ‘tangki bergerak’.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, hal ini kerana bahagian tangki minyak kenderaan terbabit diubah suai bagi menambah kapasiti bahan bakar tersebut.
Menurut beliau, pengubahsuaian itu dilakukan dengan membesarkan tangki asal selain menambah tangki tambahan di bahagian but serta di bawah kerusi belakang kenderaan.
"Modus operandi mereka ialah menggunakan kereta sendiri yang telah diubah suai untuk mengisi minyak berulang kali sebelum membawa petrol berkenaan ke stor haram atau lokasi transit di kawasan berhampiran sempadan.
"Kenderaan ini seolah-olah menjadi ‘tangki bergerak’ kerana kapasiti minyaknya jauh lebih besar berbanding tangki asal,"katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2026 di Pasar Raya AEON di sini pada Sabtu.
Ujar beliau, kegiatan itu dikesan banyak berlaku di kawasan sempadan dan lokasi ‘hotspot’ yang sering menerima aduan berkaitan penyeludupan bahan api bersubsidi.
Tambahnya, sepanjang tempoh Januari hingga kini, pihaknya merekodkan sebanyak 46 tangkapan berkaitan kes penyeludupan petrol RON95 di negeri ini.
Menurut Aswadi, siasatan mendapati kebanyakan individu yang terlibat bergerak secara bersendirian menggunakan kenderaan sendiri bagi mengelakkan kegiatan mereka mudah dikesan pihak berkuasa.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pengusaha stesen minyak perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk tidak membenarkan pengisian petrol secara berulang sekiranya terdapat unsur mencurigakan.



