24 jam pantau sempadan, elak penyeludupan RON95 - KPDN Kelantan

LocalPolitics
14 Mar 2026 • 1:56 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Aswadi (kiri) pada Program Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2026 di Pasar Raya AEON, Kota Bharu pada Sabtu.Foto HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melaksanakan pemantauan 24 jam di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand bagi mengekang kegiatan penyeludupan petrol bersubsidi RON95 ke negara jiran.

Langkah itu dipertingkatkan susulan krisis Asia Barat yang semakin meruncing sehingga memberi kesan kepada permintaan bahan bakar tersebut.

Ia termasuk langkah kerajaan mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 menerusi Budi95 yang dijangka mendorong kepada aktiviti penyeludupan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Kelantan, Aswadi Jaafar berkata, penugasan dilakukan secara penggiliran bagi memastikan pengawasan di kawasan sempadan terus berjalan tanpa henti.

"Pelbagai kaedah digunakan termasuk rondaan, risikan serta penyamaran bagi mengelakkan kegiatan penyeludupan dikesan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Ada anggota yang bertugas memakai uniform dan ada juga berpakaian biasa bagi mengelakkan kehadiran mereka disedari," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2026 di Pasar Raya AEON di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, pemantauan dan pemeriksaan di kawasan sempadan sentiasa dibuat setiap hari termasuk sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri nanti.

Dalam pada itu, Aswadi berkata, pihaknya turut membuka bilik gerakan sepanjang musim perayaan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan bahan bakar.

Ujar beliau, kerjasama orang awam amat penting dalam membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan penyeludupan di kawasan sempadan.