“Hanya berhenti 3 saat” – Pemandu Ambulans Didakwa Berhenti Beli Pisang Goreng Semasa Hantar Pesakit

19 Oct 2023 • 1:02 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Seorang pemandu ambulans di Nakhon Nayok, Thailand sedang dalam siasatan gara-gara membeli pisang goreng daripada penjaja di tepi jalan ketika dalam perjalanan membawa pesakit ke hospital.

Menurut laporan portal berita Thai PBS World baru-baru ini, pemandu berkenaan didakwa telah memesan pisang goreng itu terlebih dahulu sebelum berhenti untuk mengambil pesanan tersebut semasa membawa pesakit.

image is not available

Berikutan insiden itu, pihak hospital telah menghantar wakil mereka untuk memohon maaf kepada keluarga pesakit yang berusia 64 tahun tersebut iaitu Sommai Thongkerd.

Difahamkan, insiden tersebut berlaku pada hari Jumaat dan Thongkerd menaiki ambulans tersebut kerana mengalami kesukaran bernafas dan semasa dalam perjalanan, pemandu berkenaan telah berhenti sebentar untuk mengambil pesanan pisang gorengnya.

Pemandu itu dikatakan telah memesan hidangan itu menerusi internet dan meminta penjaja itu untuk menyerahkan makanan tersebut ketika dia dalam perjalanan ke hospital.

Anak perempuan Thongkerd yang juga berada dalam ambulans bersama bapanya yang mengalami kesesakan nafas tersebut telah memerhatikan kejadian itu dan mengadu mengenainya di media sosial selepas aduannya kepada pihak hospital tidak membuahkan hasil.

Pun begitu, pihak hospital mengeluarkan kenyataan dengan mengatakan bahawa ambulans tersebut cuma berhenti selama tiga saat.

Thongkerd dimasukkan ke hospital untuk menjalani diagnosis dan menerima rawatan. Dia kemudian dibenarkan pulang pada keesokan harinya selepas keadaan kesihatannya kembali normal.

Sumber : Kosmo!

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.