SANDAKAN - Seorang lelaki cedera selepas empat jari tangan kanan hancur 'dimamah' mesin pengisar ikan dalam kejadian di sebuah kilang, di sini pada Isnin.
Muhammad Irwan Abdullah, 26, dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK), di sini selepas pasukan bomba berjaya mengeluarkan jari yang tersepit dalam mesin tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 2.11 petang.
Katanya, seramai lapan anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh dua kilometer dari BBP Sandakan.
"Sebaik tiba di lokasi, anggota kita menjalankan operasi menyelamat dengan melepaskan jari yang tersepit pada mesin pengisar ikan menggunakan peralatan khas.
"Hasil pemeriksaan, hanya ibu jari yang tinggal selepas tersepit. Mangsa telah diberikan bantuan rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dibawa ke HDOK untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Katanya lagi, operasi ditamatkan sepenuhnya jam 3.25 petang selepas memastikan keadaan di lokasi terkawal.


