liza11/08/2026 - 09:31 Kapasiti pengeluaran kilang itu dijangka mencecah 150,000 tan setahun menerusi empat barisan pengeluaran, masing-masing dua untuk makanan udang dan dua lagi bagi makanan ikan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 11 Ogos – Perak bakal menjadi hab pengeluaran makanan akuakultur apabila Sheng Long Aqua Technology (M) Sdn Bhd membangunkan kilang baharu bernilai RM140 juta di Kamunting, Taiping.
Pelaburan berkenaan hadir ketika industri akuakultur terus berkembang, dengan kilang tersebut direka untuk menghasilkan makanan ikan dan udang bagi memenuhi keperluan pasaran Malaysia selain membuka ruang kepada pasaran serantau.
Lebih menarik, kilang berkenaan merupakan fasiliti pembuatan makanan akuakultur pertama Sheng Long di Malaysia, sekali gus meletakkan Perak sebagai lokasi penting dalam pengembangan operasi syarikat itu di rantau ini.
Kapasiti pengeluaran kilang itu dijangka mencecah 150,000 tan setahun menerusi empat barisan pengeluaran, masing-masing dua untuk makanan udang dan dua lagi bagi makanan ikan.
Empat Barisan Pengeluaran, Kapasiti 150,000 Tan Setahun
Dengan kapasiti tersebut, Sheng Long menyasarkan untuk menyediakan bekalan makanan akuakultur yang lebih kukuh bagi menyokong permintaan penternak di Malaysia dan pasaran negara jiran.
Projek itu juga dijangka mewujudkan lebih 100 peluang pekerjaan, selain meningkatkan keupayaan pembuatan tempatan dan memperkukuh rantaian bekalan berkaitan industri akuakultur.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, pelaburan itu memperlihatkan potensi negeri berkenaan dalam menarik aktiviti pembuatan serta pelaburan baharu.
“Kerajaan negeri melalui InvestPerak akan terus bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi menyokong pelaburan di negeri ini,” katanya pada majlis pecah tanah pembinaan kilang tersebut.
Sheng Long Aqua Technology adalah anak syarikat kepada Guangdong Haid Group Co Ltd yang berpangkalan di China dan terlibat dalam bidang pertanian serta penternakan.
Teknologi Automatik, PKS Tempatan Turut Diberi Ruang
Sementara itu, MIDA dalam satu kenyataan berkata kilang Sheng Long itu akan menggunakan proses pengeluaran automatik bagi meningkatkan kecekapan operasi serta kualiti produk, selain memberi penekanan kepada amalan bertanggungjawab terhadap alam sekitar dan sumber bahan mentah.
Pengarah Eksekutif Pembangunan Pembuatan (Sumber) MIDA, Surayu Susah berkata, antara perkara penting dalam pelaburan itu ialah usaha Sheng Long memindahkan kepakaran kepada tenaga kerja Malaysia, khususnya dalam pembuatan makanan ternakan berteknologi maju.
Pada masa sama, penglibatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam rantaian operasi Sheng Long berpotensi membuka lebih banyak ruang kepada syarikat Malaysia menyertai aktiviti pembuatan bernilai lebih tinggi.
Pendekatan itu juga selari dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) yang menggalakkan inovasi, penggunaan teknologi dan pengembangan aktiviti industri bernilai tinggi.
Kurangkan Kebergantungan Import, Kukuhkan Keselamatan Makanan
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid pula berkata, pelaburan Sheng Long mampu memberi kesan lebih luas kepada ekosistem agromakanan negara kerana peningkatan pengeluaran tempatan dapat membantu mengurangkan kebergantungan terhadap makanan ternakan yang diimport.
Menurutnya, projek itu bukan sahaja membawa nilai ekonomi melalui pelaburan dan pekerjaan, malah turut melibatkan pemindahan teknologi serta pengetahuan yang boleh meningkatkan kepakaran tempatan dalam pembuatan moden.
Bagi Sheng Long, kehadiran kilang itu merupakan sebahagian daripada usaha syarikat untuk berkembang seiring dengan industri akuakultur Malaysia dan menyumbang kepada pembangunan sektor tersebut secara mampan dalam jangka panjang.
Pelaburan RM140 juta itu hadir ketika sektor pembuatan makanan Malaysia terus mencatat pertumbuhan, dengan MIDA merekodkan RM3.3 bilion pelaburan diluluskan dalam subsektor berkenaan pada suku pertama 2026, daripada keseluruhan RM24.1 bilion pelaburan diluluskan bagi sektor pembuatan.
Perkembangan itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai lokasi yang semakin menarik bagi aktiviti pembuatan berasaskan sumber dan bernilai tinggi, manakala projek Sheng Long di Kamunting memberi satu lagi dimensi kepada usaha negara memperkukuh rantaian bekalan makanan serta kapasiti industri akuakultur tempatan.- DagangNews.com





