‘Hanya jumpa selipar, kacang rebus tetapi bapa masih hilang’

3 Oct 2026 • 2:51 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Hanya jumpa selipar, kacang rebus tetapi bapa masih hilang’

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang selepas kereta dipandu terjunam ke dalam sungai di Jalan Lubuk Segintah-Lubuk Kawah, Bukit Selambau, dekat sini, malam tadi merancang untuk berkahwin pada Disember ini.

Menurut Mohd Noor Mat Yusof, 43, kejadian berlaku ketika bapanya, Mat Yusof Hashim, 77, dalam perjalanan pulang ke rumah di Felda Teloi Timur selepas berkunjung ke rumah ahli keluarga bakal isteri di Sidam Kanan, dekat sini.

Dia berkata, bapanya pada petang semalam memaklumkan mahu bertemu keluarga bakal isteri untuk berbincang beberapa perkara berkaitan perkahwinan mereka yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Bapa keluar dari rumah sebelum waktu asar menaiki kereta Proton Wira dan sempat berpesan kepada anak sulung saya, Mohd. Aiman Affandi, 17, yang tinggal bersamanya sejak kematian ibu lebih lapan bulan lalu supaya tidak menunggu kerana kemungkinan dia akan balik lewat.

“Kami terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak polis pada pukul 2 pagi tadi memaklumkan bapa hilang dan gagal dikesan selepas keretanya terjunam ke dalam sungai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia terus bergegas ke lokasi bersama ahli keluarga dan melihat Proton Wira yang dibawa naik dari sungai dalam keadaan remuk.

“Saya dan keluarga sedih dan susah hati kerana bapa masih hilang dan hanya beberapa barang seperti selipar dan sedikit makanan ringan iaitu kacang rebus ditemui di dalam kereta itu.

“Sehingga kini, usaha mencari dan menyelamat bapa masih giat dijalankan oleh pasukan penyelamat,” katanya.

Sementara itu menantu Mat Yusof, Siti Syarifah Mohd Zain, 43, berkata, sejak kematian ibu mentuanya pada akhir Februari lalu, mangsa sering mengadu kesunyian.

“Bapa bekerja sebagai penoreh dan bagi membantu menjaga urusan sehariannya, kami membenarkan anak sulung (Mohd Aiman) tinggal bersamanya. Kami berharap dan berdoa agar bapa ditemui segera dalam keadaan selamat dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Sementara itu, satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kejadian menunjukkan kereta Proton Wira dipandu mangsa terbabas ke kiri jalan sebelum terjunam ke dalam sungai.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang lelaki warga emas belum ditemui selepas kereta yang dipandu terjunam ke dalam sungai di Jalan Lubuk Segintah-Lubuk Kawah, dekat sini.

Kejadian berlaku ketika kereta jenis Proton Wira yang dipercayai dipandu mangsa, Mat Yusof dalam perjalanan dari arah Jalan Kuala Ketil menghala ke Felda Teloi Timur. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Hanya jumpa selipar, kacang rebus tetapi bapa masih hilang’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved