‘Hanya Mereka Perjuangkan Islam’, Pemikiran Takfiri Siyasi Hadiah PAS Untuk Kelantan

Politics
21 Aug 2023 • 8:59 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dr Mujahid Yusof Rawa - gambar fail

KUALA LUMPUR - Kemenangan PAS di Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini bakal meletakkan rakyat negeri itu di bawah aliran pemikiran takfiri siyasi.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pemikiran Islam ala PAS itu adalah hadiah untuk rakyat negeri berkenaan selepas melalui proses demokrasi.

Menurut beliau, ucapan Menteri Besar Kelantan yang baharu, Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada kuliah Jumaat di Kota Bharu minggu lalu jelas mengisyaratkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang dari Pakatan Harapan- Barisan Nasional (PHBN) sebagai tontonan hok lawe perjuangen Isle (lawan perjuangan Islam).

“Jelaslah pemikiran takfiri siyasi menguasai pemikiran kerajaan negeri Kelantan iaitu pemikiran menganggap seteru politiknya sebagai tidak  perjuangkan Islam dan mereka sahaja secara eksklusif perjuangkan Islam.

“Kesan pemikiran takfiri siyasi memecahbelahkan masyarakat dan memburukkan imej Islam yang 'dipenjarakan' secara monopoli politik,” katanya.

image is not available
Pemikiran Islam ala PAS adalah hadiah untuk rakyat Kelantan selepas melalui proses demokrasi - gambar fail

Mujahid yang juga Pengerusi Nadwah Ulamak (NUNJI) menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan dibuat Mohd Nassuruddin ketika menyampaikan kuliah agama beberapa hari lalu.

Pada kuliah berkenaan, Mohd Nassuruddin yang juga ADUN Meranti melabelkan dua ADUN PHBN, Mohd Syahbuddin Hashim dan Dr Hafidzah Mustakim sebagai melawan perjuangan Islam.

Susulan kenyataan, kedua-dua mereka yang memenangi DUN Galas dan Kota Lama mendesak Menteri Besar Kelantan itu membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari atau berdepan tindakan undang-undang.

Tegas Mohd Syahbuddin, kenyataan berkenaan amat keterlaluan dan tidak sepatutnya dibuat oleh pemimpin tertinggi negeri. 

image is not available
Mohd Nassuruddin Daud - gambar Wikipedia

Mohd Nassuruddin bagaimanapun dipetik sebagai berkata, kedua-dua ADUN berkenaan perlu menyemak semula ucapan dibuatnya kerana ‘melawan’ dan ‘’memperjuangkan’ Islam membawa tafsiran berbeza.

“Jangan cuba pusing atau kelirukan apa yang saya sebut, tambahan pula ucapan yang saya sampaikan adalah dalam bahasa Melayu Kelantan yang jelas mudah difahami,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Mengulas perkara itu, Mujahid yang juga Mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, rakyat Kelantan telah membuat keputusan untuk memilih pentadbir dikehendaki dan ia perlu dihormati.

“Namun, menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan untuk menegur unsur yang boleh menjejaskan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan,” katanya. - Getaran, 21 Ogos 2023