HAPI Angkat Inovasi Penuaan Sihat, Malaysia Bakal Jadi Negara Tua Dalam 20 Tahun

LocalHealth & Fitness
11 Nov 2026 • 8:58 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

KUALA LUMPUR - Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua dalam tempoh kira-kira 20 tahun apabila penduduk berusia 65 tahun ke atas diunjurkan merangkumi lebih 14 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Perubahan demografi ini membawa cabaran tersendiri kepada negara, khususnya dalam memastikan golongan warga emas bukan sahaja mendapat akses kepada penjagaan kesihatan yang sewajarnya, malah dapat menjalani kehidupan berkualiti dengan sokongan komuniti dan persekitaran yang bersesuaian.

Hakikatnya, peningkatan populasi warga emas bukan hanya cabaran Malaysia, sebaliknya turut menjadi perhatian di seluruh Asia.

Menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), jumlah penduduk berusia 65 tahun ke atas di Asia Timur dan Asia Tenggara dijangka mencecah 590 juta orang menjelang 2050. 

Dalam tempoh kurang 25 tahun, seorang daripada setiap empat penduduk di Asia Timur dijangka tergolong dalam kumpulan warga emas.

Situasi itu menjadikan usaha memperkukuh sistem penjagaan, menggalakkan penglibatan sosial serta menyediakan persekitaran mesra warga emas semakin penting.

Antara usaha yang memberi tumpuan kepada cabaran tersebut ialah Anugerah Healthy Aging Prize for Asian Innovation (HAPI), yang mengiktiraf pelbagai inovasi dalam membantu masyarakat menua menjalani kehidupan lebih sihat dan sejahtera.

Anugerah edisi kelima itu dianjurkan oleh Japan Center for International Exchange (JCIE) dan Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA), dengan majlis pengiktirafan berlangsung di Grand Hyatt Kuala Lumpur, semalam.

HAPI merupakan platform yang mengetengahkan dasar, program, perkhidmatan dan produk inovatif bagi menangani pelbagai cabaran berkaitan masyarakat menua.

Dilaksanakan di bawah naungan Asia Health and Wellbeing Initiative (AHWIN) kerajaan Jepun, anugerah itu merangkumi tiga kategori utama iaitu Penjagaan dan Kesejahteraan, Penglibatan Sosial serta Persekitaran yang Menyokong.

Kategori Penjagaan dan Kesejahteraan memberi tumpuan kepada inovasi yang menyokong penjaga warga emas serta penyedia perkhidmatan kesihatan dan kebajikan dalam meningkatkan kesihatan fizikal, mental dan kesejahteraan golongan berkenaan.

Penglibatan Sosial pula mengiktiraf inisiatif yang menggalakkan penyertaan aktif warga emas dalam komuniti serta mengeratkan hubungan antara generasi.

Sementara itu, kategori Persekitaran Yang Menyokong memberi perhatian kepada usaha menjadikan kediaman, kawasan kejiranan dan pengangkutan lebih mudah diakses serta mesra warga emas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCIE, Isao Kano berkata, penganjuran HAPI di Malaysia amat bertepatan ketika negara sedang membuat persediaan menghadapi perubahan struktur demografinya.

“Malaysia dijangka menjadi sebuah negara tua dalam tempoh kira-kira 20 tahun apabila penduduk berusia 65 tahun ke atas diunjurkan merangkumi lebih 14 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

“Penganjuran Anugerah HAPI di Kuala Lumpur merupakan peluang yang tepat pada masanya untuk mengiktiraf inisiatif perintis serta berkongsi pendekatan inovatif yang boleh membantu masyarakat menangani cabaran dan memanfaatkan peluang yang timbul akibat peningkatan populasi warga emas,” ulas beliau.

Image from: HAPI Angkat Inovasi Penuaan Sihat, Malaysia Bakal Jadi Negara Tua Dalam 20 Tahun

Beliau turut berharap pencapaian para penerima anugerah dapat memberi inspirasi kepada lebih banyak penyelesaian yang boleh disesuaikan dengan keperluan masyarakat menua di seluruh Asia.

14 Organisasi Dari Tujuh Negara Diiktiraf

Bagi edisi kelima, HAPI mengiktiraf 14 organisasi dari tujuh negara dan wilayah iaitu Jepun, Korea Selatan, Hong Kong SAR, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Filipina.

Tiga organisasi menerima Anugerah Utama bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

Bagi kategori Penjagaan dan Kesejahteraan, pengiktirafan diberikan kepada Frailty Prevention Team dari The University of Tokyo, Jepun, menerusi inisiatif berasaskan komuniti yang memperkasakan warga emas untuk mencegah atau memulihkan keadaan kerapuhan fizikal melalui gaya hidup lebih sihat dan hubungan sosial yang lebih kukuh.

NOLLUWA dari Korea Selatan pula menerima Anugerah Utama bagi kategori Penglibatan Sosial menerusi inisiatif Local Libero for Regional Revitalization and Sustainability.

Program berkenaan menggalakkan kerjasama antara generasi selain membantu menghidupkan semula komuniti luar bandar yang berdepan peningkatan populasi warga emas.

Sementara itu, Fukuoka City dari Jepun menerima Anugerah Utama bagi kategori Persekitaran yang Menyokong menerusi inisiatif Fukuoka Dementia-Friendly Design.

Inisiatif itu bertujuan mewujudkan persekitaran awam yang lebih mudah diakses dan inklusif untuk individu yang hidup dengan demensia.

Selain mengiktiraf pencapaian organisasi berkenaan, HAPI turut menyediakan ruang kepada inovator, penggubal dasar dan pihak berkepentingan untuk berkongsi pengalaman serta meneroka pendekatan yang boleh disesuaikan mengikut keperluan komuniti masing-masing.

Usaha seumpama itu dilihat penting dalam memastikan peningkatan populasi warga emas tidak hanya dilihat sebagai cabaran demografi, tetapi turut mendorong pembangunan penyelesaian yang membolehkan masyarakat menua dengan lebih sihat, aktif dan bermaruah. - Getaran, 11 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved