Penduduk jalan kaki usung pesakit 20 kilometer pergi klinik

9 Nov 2026 • 7:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penduduk jalan kaki usung pesakit 20 kilometer pergi klinik

JAKARTA – Keperitan penduduk di kawasan pedalaman Sulawesi Barat mencuri perhatian masyarakat selepas tular rakaman video sekumpulan penduduk kampung mengusung seorang pesakit sejauh kira-kira 20 kilometer akibat jalan raya yang rosak teruk dan tidak boleh dilalui kenderaan biasa, lapor saluran berita Lambe Turah.

Kejadian di Desa Baruru, Daerah Mamasa itu menyaksikan lelaki tempatan dikenali sebagai  Petrus diusung selama tujuh jam dengan berjalan kaki demi mendapatkan rawatan di Pusat Kesihatan Komuniti (Puskesmas) Aralle.

Ketua Kampung Baruru, Rusman ketika mengesahkan kejadian itu berkata,  mangsa mengalami masalah bengkak kaki serius sehingga sukar bergerak dan memerlukan rawatan perubatan segera.

“Keadaan jalan yang sangat teruk menyebabkan kenderaan biasa tidak dapat masuk, kecuali kenderaan pacuan empat roda 

“Penduduk tiada pilihan selain mengusungnya secara bergilir-gilir bermula jam 8.00 pagi,” kata Rusman.

Perjalanan meredah laluan berbatu dan berlumpur itu mengambil masa sehingga lewat petang sebelum pesakit akhirnya tiba di pusat rawatan untuk rawatan awal, sebelum dirujuk ke hospital utama di Mamuju bagi pemeriksaan lanjut.

Menerusi rakaman yang tular di media sosial, penduduk dilihat bergotong-royong menggunakan pengusung diperbuat daripada buluh dan kain sarung, lengkap dengan bentangan kanvas bagi melindungi pesakit daripada panas terik serta hujan.

Menurut Rusman lagi, insiden seumpama ini bukanlah kali pertama berlaku di wilayah terpencil tersebut. 

Kesukaran jaringan perhubungan darat sering menjejaskan urusan kecemasan penduduk, termasuk situasi membabitkan wanita sarat mengandung yang terpaksa diusung dengan cara sama untuk melahirkan anak.

Tragedi ini sekali lagi membangkitkan kebimbangan berhubung jurang infrastruktur asas dan akses kepada kemudahan kesihatan yang masih membelenggu komuniti pedalaman di negara kepulauan tersebut.- AGENSI

 

The post Penduduk jalan kaki usung pesakit 20 kilometer pergi klinik appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved