Hapus budaya senioriti antara tujuh langkah banteras buli

LocalFamily & Parenting
26 Sep 2026 • 12:13 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Hapus budaya senioriti antara tujuh langkah banteras buli

PETALING JAYA: Menghapuskan budaya senioriti merupakan antara tujuh langkah radikal yang perlu dilakukan bagi membanteras budaya buli di sekolah.

Ini susulan kes terbaharu melibatkan seorang pelajar lelaki tingkatan dua di sebuah sekolah sukan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan yang ditemukan tidak sedarkan diri dalam kawasan asrama sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sistem perlu diubah dan bukan sekadar menghukum selepas kejadian buli berlaku.

Menurutnya, kes buli tidak boleh lagi ditangani dengan cara biasa dan sekiranya mahu hasil yang berbeza, semua pihak mesti berani membuat perubahan luar biasa.

“Antaranya memutuskan budaya senioriti. Ragging, hukuman tidak rasmi, penghinaan dan budaya ‘senior mengajar junior’ mesti dihentikan. Ibu bapa pelaku juga wajib terlibat dalam proses intervensi dan pemulihan.

“Kita bukan sekadar mahu menghukum pembuli. Kita mahu memutuskan budaya yang melahirkan pembuli. Anak-anak pergi ke sekolah untuk belajar dan membina masa depan, bukan untuk hidup dalam ketakutan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Mangsa, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, dilaporkan ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolah itu sebelum dibawa ke HTAN dan disahkan meninggal dunia.

Perkara itu dikongsikan seorang wanita yang mendakwa ibu saudara mangsa menerusi beberapa hantaran di Threads sejak malam tadi.

Menurut wanita berkenaan, dia dimaklumkan mengenai kematian anak saudaranya selepas menerima panggilan daripada adiknya yang juga ibu mangsa.

Dalam hantaran susulan, wanita itu mendakwa jenazah mangsa pada awalnya berada di Hospital Kuala Pilah sebelum dibawa ke sebuah hospital di Seremban untuk bedah siasat.

Asyraf berkata, sekolah terutama yang berasrama memerlukan warden profesional sepenuh masa yang boleh dianggotai oleh pesara tentera dan polis.

Katanya, guru tidak seharusnya dibebankan dengan tugas warden sebagai tanggungjawab sampingan.

Beliau berkata, setiap kes mesti disiasat segera secara telus, adil dan tegas manakala kes berat yang mempunyai unsur jenayah mesti terus dirujuk kepada polis.

“Mangsa dan ibu bapa juga mesti tahu hak mereka serta mempunyai akses jelas kepada tribunal antibuli dan saluran undang-undang.

“Sesiapa yang sengaja menyembunyikan, melengah-lengahkan atau menekan mangsa supaya berdiam diri mesti dikenakan tindakan. Keselamatan anak lebih penting daripada reputasi sekolah,” katanya.

Tambahnya, sekolah turut perlu memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko yang dibenarkan daripada sudut privasi dan memperhebat rondaan mengejut, khususnya di asrama.

“Selain itu, wujudkan sistem amaran awal. Kesan lebih awal budaya senioriti melampau, pemerasan, tingkah laku agresif, perubahan emosi mangsa dan tanda-tanda pengasingan sosial,” katanya. – UTUSAN

The post Hapus budaya senioriti antara tujuh langkah banteras buli appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved