Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu budaya buli dan sikap sombong dihentikan di sekolah serta tidak diberi ruang dalam institusi pendidikan negara.
Anwar berkata, tidak sepatutnya ada pelajar yang menggunakan kekuatan atau kedudukan untuk membuli pelajar lain kerana mereka yang berada di sekolah hari ini bakal menjadi pemimpin pada masa depan.
“Tak ada tempat bagi sekolah-sekolah kita melayani orang-orang yang sombong, yang buli kerana dia kuat sedikit, dia buli orang. Jangan tolak ansur kepada orang seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Temu Anwar Sempena Ambang Merdeka Sahabat Madani di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata guru dan pensyarah perlu memainkan peranan dalam memastikan budaya berkenaan tidak dibiarkan berlarutan kerana ia berkait rapat dengan usaha membentuk adab dan akhlak generasi muda.
“Saya nak bagi ingatan pada anak-anak. Kepada guru-guru, kepada pensyarah. Bila kita mula tolak ansur, negara kita dan masa depan tidak akan terjamin.
“Kita nak bentuk adab tetapi akhlak tidak dijaga, nilai tidak murni,” katanya.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, walaupun terdapat kes buli yang dilaporkan, perkara berkenaan tidak seharusnya menggambarkan keseluruhan pelajar di sekolah.
Beliau berkata, daripada jumlah pelajar yang ramai, hanya sebilangan kecil mungkin terlibat dalam masalah berkenaan, namun kes itu sering mendapat perhatian.
“Kadang-kadang kita baca ini ada 1,000 pelajar masuk sekolah. Yang teruk buli empat orang. Dalam media cerita empat orang. Dia tak cerita 960 orang itu.
“Jadi bukanlah maksud saya nak besarkan ini cerita empat orang. Tapi saya nak bagi tahu jangan kita isi. Kita mesti bawa budaya baru,” katanya.
Anwar berkata, budaya baharu itu perlu dibentuk bukan sahaja dalam institusi pendidikan, malah dalam dunia politik supaya amalan menghina dan memaki orang lain dapat dihentikan.
“Dalam dunia politik, pendidikan, yang kerja hina orang, maki orang tak ada. Jadi kita kena hentikan perkara ini,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan pendidikan tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada pencapaian ilmu, sebaliknya perlu menggabungkan ilmu dengan adab dan akhlak.
Katanya, pelajar perlu belajar bersungguh-sungguh, menjaga disiplin, menghormati ibu bapa, guru dan pensyarah serta membina hubungan kasih sayang sesama manusia.
Sumber: Harian Metro (Nur Izzati Mohamad)






