KERAP kali komen-komen di media sosial yang mahu pencen Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dihapus di negara ini.
Komen itu dibuat kerana ada yang tidak berpuas hati dengan prestasi wakil rakyat dan juga kerajaan yang memerintah.
Pada dasarnya semua wakil rakyat di negara ini menikmati gaji bulanan termasuk elaun serta peruntukan khas untuk membolehkan mereka berkhidmat kepada orang ramai.
Dan sebaik sahaja mereka mencapai usia persaraan iaitu 60 tahun, wakil rakyat ini akan menikmati pencen berdasarkan gaji yang mereka terima waktu menjadi Ahli Parlimen atau ADUN.
Sistem pencen untuk wakil rakyat adalah berbeza mengikut negara, malah ada yang telah memansuhkan atau mengurangkannya kerana tekanan awam dan usaha mengawal perbelanjaan kerajaan.
Antara negara yang masih mengekalkan sistem pencen ialah di Malaysia, United Kingdom dan Australia.
Sementara di negara lain memperkenalkan skim persaraan berdasarkan caruman, sama seperti pekerja swasta di negara ini menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Malah ada juga negara yang memberikan bayaran penamatan perkhidmatan (gratuiti) atau hanya bergantung kepada skim persaraan biasa yang disertai sebelum menjadi ahli politik.
Mengenai peranan pula, tugas seorang wakil rakyat di Malaysia sedikit berbeza dengan negara-negara lain.
Mereka juga membantu rakyat menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan kerajaan, walaupun tahap penglibatan mereka berbeza berbanding amalan di Malaysia.
Di negara seperti United Kingdom, Australia dan Kanada, Ahli Parlimen biasanya mempunyai pejabat khidmat kawasan yang dikendalikan oleh kakitangan profesional.
Rakyat boleh datang untuk mendapatkan bantuan berkaitan permohonan pasport dan imigresen, kebajikan sosial, cukai, pencen, perumahan awam atau aduan terhadap agensi kerajaan.
Di Amerika Syarikat, Ahli Kongres mempunyai peranan yang dikenali sebagai constituency service atau khidmat kepada pengundi.
Mereka membantu rakyat berurusan dengan agensi persekutuan seperti keselamatan sosial, hal ehwal veteran, imigresen dan cukai.
Malah, sebahagian besar kakitangan ahli Kongres ditugaskan untuk mengendalikan kes-kes rakyat di kawasan mereka.
Tetapi di Malaysia, ramai wakil rakyat sering dikaitkan dengan menyelesaikan masalah jalan rosak, membantu mangsa bencana, menyalurkan bantuan kewangan, menyumbang kepada aktiviti komuniti atau memohon projek pembangunan.
Di banyak negara Barat, tugas pembangunan fizikal seperti membaiki jalan, longkang atau lampu jalan biasanya menjadi tanggungjawab kerajaan tempatan dan agensi kerajaan.
Wakil rakyat lebih berperanan sebagai penggubal undang-undang. penyemak dasar kerajaan dan pengantara antara rakyat serta kerajaan.
Disebabkan itulah wakil rakyat di Malaysia memerlukan peruntukan yang tinggi dan selalunya dinikmati oleh Ahli Parlimen dan ADUN yang menyokong kerajaan.
Jadi berbalik kepada persoalan tentang menghapuskan pencen wakil rakyat, mungkin ada baiknya juga kerana mana-mana individu yang ingin bertanding dalam pilihan raya mestilah benar-benar mahu berkhidmat dan berbakti untuk rakyat.
Jangan selepas dipilih sebagai wakil rakyat mereka akan bersenang lenang dengan segala keistimewaan dan akhirnya melupakan janji-janji yang pernah dibuat sebelum ini.
*Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian





