
Nama isteri kepada penyanyi, Haqiem Rusli iaitu Anis Sofea menjadi bualan netizen di media sosial beberapa hari lalu selepas memuat naik beberapa foto yang memperlihatkan dirinya tidak lagi bertudung.
Haqiem menerusi laporan Harian Metro, memaklumkan bahawa dia sudah mencuba untuk menjadi seorang suami yang baik buat isterinya sepanjang mereka berdua mendirikan rumah tangga sejak dua tahun lalu.
Ujarnya, adalah menjadi lumrah dalam setiap rumah tangga mendapat ujian tertentu termasuklah dirinya.
Berharap doa yang baik-baik dari semua orang
Dia mengakui tindakan isterinya menanggalkan tudung adalah salah satu ujian buatnya namun, dia sudah buat yang terbaik sebagai seorang suami.
“Saya sebenarnya tidak mahu komen lebih (isu isteri tanggalkan hijab) sebab ini adalah berkaitan kehidupan peribadi.
“Cuma apa yang boleh dikatakan, saya sudah cuba sehabis baik untuk menjadi suami yang baik kepada Anis.
“Saya terima ujian ini dan masa sama berharap doa yang baik-baik daripada semua orang. Kita bagi dia masa dan saya juga tidak mahu memaksa,” katanya.
Dalam pada itu, pelantun lagu Tergantung Sepi itu turut menjelaskan spekulasi rumah tangganya sedang mengalami masalah adalah tidak benar sama sekali seperti yang didakwa netizen di media sosial sebelum ini.
Tambahnya, dia tidak kisah dengan pelbagai andaian mengenai rumah tangganya kerana hubungannya bersama isteri masih baik.
“Tidak kisahlah apa assumption atau siapa yang nak reka cerita kerana hubungan saya dengan isteri baik saja. Perkara ini mungkin timbul apabila saya sudah jarang upload di media sosial tetapi itu tidak bermakna hubungan rumah tangga saya bermasalah,” katanya.
Sekadar info, Haqiem telah mendirikan rumah tangga bersama Anis pada 19 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup.
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

