
GEORGE TOWN – Haram bagi umat Islam terlibat dalam kerja-kerja membersihkan tempat atau peralatan khusus untuk ritual agama lain yang bercanggah dengan akidah Islam, termasuk membantu menyediakan ruang bagi upacara penyembahan.
Mufti Pulau Pinang, Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, umat Islam perlu menjaga batas akidah dan syariat dalam setiap aktiviti kemasyarakatan, meskipun usaha itu dilakukan atas nama gotong-royong atau perpaduan.
Menurutnya, Islam tidak pernah melarang umatnya berbuat baik dan menjalinkan hubungan harmoni dengan masyarakat berlainan agama, namun setiap tindakan perlu berpandukan batas syariat.
“Kerja-kerja yang mempunyai hubungan langsung dengan penyediaan, pemeliharaan atau pengendalian tempat dan peralatan khusus bagi pelaksanaan ritual agama lain, seperti membersihkan patung sembahan, altar pemujaan atau menyediakan ruang khusus untuk upacara penyembahan, perlu dielakkan dan hukumnya adalah haram.
“Hal ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah, ayat 2 yang bermaksud, ‘Dan janganlah kamu saling membantu dalam melakukan dosa dan pencerobohan’,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas video tular yang memaparkan sekumpulan individu Islam dipercayai menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan sebuah kuil Hindu.
Mohd. Sukki berkata, umat Islam perlu mengelakkan aktiviti yang menjadi bantuan langsung kepada penyelenggaraan tempat peribadatan bagi tujuan ritual agama lain, namun perkara itu tidak bermaksud mereka dilarang membantu masyarakat bukan Islam dalam urusan kemanusiaan, kebajikan dan keselamatan. – KOSMO! ONLINE
The post Haram orang Islam bersih rumah ibadat agama lain appeared first on Kosmo Online.






