
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Baru-baru ini, kecoh di media sosial video memaparkan sekumpulan individu termasuk beberapa orang Muslim mencuci sebuah kuil di Georgetown, Pulau Pinang.
Menerusi video tular, kelihatan beberapa individu terbabit dilihat mencuci malah membersihkan beberapa peralatan serta kawasan keseluruhan rumah ibadat berkenaan.
Perkongsian itu nyata mendapat perhatian sehingga ramai yang mempersoal malah mengkritik perbuatan terbabit.
Penularan video tersebut turut mengundang persoalan orang ramai adakah perbuatan sebegitu dibenarkan dalam Islam.
@hafizramlan_jsn Nak wat kebajikan rujuk la ulamak….kesian generasi Melayu sekarang…..#xybca #viral #fyp #jakim #jahil ♬ bunyi asal – мαтι ιтυ ραѕтι
View on Threads
Cuci Atau Bersih Barang Yang Digunakan Untuk Ritual Agama Lain Perlu Dielakkan – Mufti Pulau Pinang
Terbaharu, Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman, tampil menasihatkan umat Islam agar mengelakkan diri dari terlibat dengan aktiviti membersihkan rumah ibadat agama lain lebih-lebih lagi jika melibatkan tempat atau peralatan khusus yang digunakan untuk ritual keagamaan yang bercanggah dengan akidah Islam.
Jelasnya, Islam tidak pernah melarang umatnya untuk berbuat baik atau menjalinkan hubungan harmoni dengan mereka yang berlainan agama.
Namun, setiap tindakan atau perbuatan yang dilakukan perlulah berpandukan kepada batas syariat.
Jelas Mohd. Sukki, terdapat perbezaan antara kerja-kerja yang mempunyai kaitan langsung dengan pelaksanaan ritual agama lain serta aktiviti pembersihan umum yang tidak melibatkan aktiviti keagamaan.
“Kerja-kerja yang mempunyai hubungan langsung dengan penyediaan, pemeliharaan atau pengendalian tempat dan peralatan khusus bagi pelaksanaan ritual agama lain, seperti membersihkan patung sembahan, altar pemujaan atau menyediakan ruang khusus untuk upacara penyembahan, perlu dielakkan.
“Hal ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah, ayat 2 yang bermaksud, ‘Dan janganlah kamu saling membantu dalam melakukan dosa dan pencerobohan’,” katanya yang dipetik dari Kosmo.
Elak Beri Bantuan Langsung Kepada Aktiviti Bagi Tujuan Ritual Agama, Namun Islam Tidak Halang Dalam Urusan Kemanusiaan
Tambah Mohd Sukki lagi, umat Islam perlu mengelakkan diri daripada menyertai aktiviti yang menjadi bantuan langsung kepada ritual agama lain.
Pun begitu, ia tidaklah bermaksud seorang Muslim itu dilarang membantu masyarakat bukan Islam dalam urusan kemanusiaan, kebajikan serta keselamatan.
“Kerja-kerja kebersihan umum seperti membersihkan longkang awam, mengutip sampah di kawasan kejiranan, membantu mangsa banjir serta membersihkan kawasan rekreasi pada asasnya dibenarkan selagi tidak melibatkan penyertaan dalam upacara keagamaan atau bantuan langsung kepada pelaksanaan ritual agama lain,” katanya.
Jaga Batas Akidah Tak Bermaksud Seseorang Itu Perlu Menghina Atau Berlaku Zalim Kepada Penganut Agama Lain
Tegas Mohd Sukki lagi, menjaga batas akidah tidak bermaksud seorang Muslim itu boleh menghina, memusuhi atau berlaku zalim kepada penganut agama lain.
Sebaliknya, mereka perlu menjaga hubungan baik dan saling menghormati tanpa perlu mencampur adukkan urusan kebajikan serta amalan ibadah agama masing-masing.
Organisasi Perlu Ambil Kira Sensitiviti Akidah Umat Islam
Pada masa sama, Mohd Sukki turut menyeru agar organisasi seperti pertubuhan, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan badan sukarela mengambil kira sensitiviti akidah umat Islam sewaktu merancang program gotong-royong antara agama.
“Program perpaduan boleh dilaksanakan menerusi aktiviti kebajikan seperti membersihkan kawasan perumahan, taman awam dan sekolah serta membantu golongan memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa.
“Perpaduan masyarakat majmuk perlu dibina atas asas saling menghormati pegangan agama masing-masing, di samping memastikan umat Islam terus memelihara akidah dan mematuhi tuntutan syariat,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: “Perlu Hati-Hati Jatuh Hukum” – Mufti Pulau Pinang Ulas Isu Wanita Muslim Jadi Dulang Girls Di Majlis Perkahwinan Bukan Islam
Baca Artikel Berkaitan: Apa Hukumnya Muslim Bergambar Dengan Patung Agama Lain? Ini Penjelasan UAI [Video]





