
PETALING JAYA: Keluarga seorang daripada rakyat Malaysia yang masih gagal dikesan susulan bencana banjir di Trishuli, daerah Nuwakot, Nepal, berharap lelaki itu berada dalam keadaan selamat.
Pemilik akaun Threads, waniyawww yang merupakan menantu kepada seorang mangsa berkata, bapa mentuanya bersama lapan lagi rakyat Malaysia menaiki kenderaan pacuan empat roda dan bukan pendaki atau ahli pasukan Annapurna.
“Semua orang tahan diri daripada menangis di rumah abah. Semua orang menunggu khabar daripada abah.
“Kali terakhir abah memberi kemas kini ketika sedang minum kopi pada pukul 8.45 pagi waktu Malaysia. Jadi, Wani berharap abah masih belum sampai di sempadan,” katanya dalam hantaran itu.
Katanya, dia menyerahkan semuanya kepada Allah dan berharap apa mentuanya dalam keadaan sihat dan dipermudahkan semua urusan.
“Semoga perjalanan mereka masih jauh dan sekiranya sudah melepasi kawasan itu, abah berada di tempat yang paling tinggi dan selamat,” katanya.
Dalam kejadian tersebut, sebanyak 55 rakyat Malaysia dilaporkan masih belum dapat dikesan susulan banjir besar itu namun jumlah itu juga belum disahkan pihak berkuasa negara terlibat.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, maklumat itu diterima daripada agensi pelancongan dan sedang dikumpulkan serta disemak Kedutaan Malaysia di Kathmandu. –UTUSAN
The post `Harap bapa mentua selamat ketika banjir besar berlalu’ appeared first on Utusan Malaysia.





