HARAPAN NASIONAL: Gabungan Baru Politik Malaysia?

Opinion
26 Aug 2025 • 10:00 AM MYT
TheRealNehruism
TheRealNehruism

An award-winning Newswav creator, Bebas News columnist & ex-FMT columnist.

image is not available
Kredit Imej: LawAsia / AhmadZahidHamidi / Anthony Loke FB

Dalam artikel ini saya akan buat satu ramalan - ramalan saya ialah tidak lama lagi kita akan melihat satu gabungan politik yang baru muncul di negara kita, dan gabungan ini — buat masa ini — saya akan namakan sebagai Harapan Nasional.

Kenapa saya membuat ramalan ini?

Saya membuat ramalan ini kerana negara kita memerlukan sebuah gabungan yang boleh mendapat dua pertiga majoriti, kerana hanya sebuah gabungan dengan dua pertiga majoriti sahaja yang boleh mengembalikan kestabilan politik dalam negara kita.

Secara sejarahnya, ketidakstabilan politik di Malaysia hanya akan berlaku apabila negara kehilangan majoriti 2/3.

Kali pertama negara hampir kehilangan majoriti 2/3 adalah pada tahun 1969, dan kita semua tahu apa yang terjadi pada tahun itu – Tahun itu kita menyaksikan peristiwa 13 mei yang menghantui kita sehingga hari in.

Ketidakstabilan politik yang kita lihat di negara kita hari ini bermula pada tahun 2008, apabila BN — gabungan yang memerintah negara kita sejak merdeka — hilang majoriti 2/3 buat pertama kali di bawah pentadbiran Pak Lah.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan perpaduannya juga sering berdepan cubaan menjatuhkan kerajaan kerana ia juga tidak memerintah dengan majoriti 2/3. Ya, parti-parti yang Anwar satukan untuk membentuk kerajaan perpaduan secara teknikalnya memiliki majoriti 2/3, tetapi majoriti ini hanya di atas kertas sahaja, tapi bukan secara hakikat.

Sesiapa yang ingin memerintah negara dengan selamat dan stabil pasti akan memikirkan cara untuk membentuk gabungan yang stabil dan boleh mendapatkan majoriti 2/3. Dan saya meramalkan bahawa gabungan seperti ini — yang saya panggil buat sementara Harapan Nasional — akan muncul tidak lama lagi dalam landskap politik kita.

Saya meramalkan Harapan Nasional akan dianggotai oleh PKR, DAP dan Umno.

PKR akan bertanding di kerusi campuran dengan pengundi Melayu yang signifikan, DAP di kerusi campuran dengan pengundi Cina yang signifikan, manakala Umno akan bertanding di kerusi majoriti Melayu.

Saya meramalkan usaha untuk membentuk gabungan ini sedang berlaku kerana BN yang diterajui Umno sudah mula bergerak untuk "menceraikan" dengan MIC dan MCA.

Dari segi persepsi, kita mungkin berpandangan bahawa MCA dan MIC la yang ingin keluar dari BN yang diterajui Umno — tetapi pada hakikatnya, mungkin Umno yang mahu “menceraikan” MIC dan MCA.

Cara Umno menceraikan MCA dan MIC ialah dengan membuat MIC dan MCA merasa mereka tidak dikhendaki atau dihargai, , supaya mereka sendiri akan keluar daripada BN. Apabila MIC dan MCA keluar, mungkin Umno akan sedikit sebanyak memujuk MIC atau MCA untuk kekal atau Kembali, tapi pujukan itu kemungkinan besar akan dilakukan secara separuh hati atau sekadar melepaskan batuk ditangga sahaja.

Umno tidak akan berusaha secara ikhlas untuk memujuk MIC dan MCA kerana Umno memang mahu MIC dan MCA meninggalkannya pun.

Apabila MCA dan MIC akhirnya keluar dari BN, Umno akan bebas untuk bergabung dengan DAP dan PKR membentuk Harapan Nasional, tanpa dipersalahkan kerana “membuang” MIC dan MCA setelah tidak memerlukannya lagi.

Kalau saya jadi Umno pun, saya akan mahu “menceraikan” MIC dan MCA kerana MIC dan MCA hanyalah merupakan beban kepada saya. Saya tidak mendapat sebarang manfaat daripada mereka, tetapi saya perlu menyusahkan diri saya untuk menjaga hubungan saya dengan mereka.

MIC dan MCA tidak mampu menang apa-apa kerusi dengan sendiri, tetapi apa sahaja yang saya menangi, mereka juga mahu sebahagian daripadanya.

Daripada Bersama MIC dan MCA, Lebih baik saya bersama PKR dan DAP. PKR dan DAP mampu menang sendiri. Mereka tidak akan meminta saya berkongsi kerusi yang saya menangi. Mereka juga adalah ada sifat johan dan juara, dan jika saya bersama mereka saya, juga akan mempunyai semangat johan dan juara. Bila saya Bersama MIC dan MCA pula, saya hanya akan merasakan bahawa diri say ini adalah dayus, lemah dan tewas sahaja.

Buat masa ini, PKR mungkin mengetuai kerajaan perpaduan, manakala saya dan DAP memainkan peranan pembantu kepada PKR, kerana nasib lebih memihak kepada PKR berbanding saya.

Tetapi nasib tidak akan sentiasa memihak kepada PKR.

Sekarang, saya ada 26 kerusi. PKR ada 31, dan DAP 40.. DAP tidak boleh mengetuai pasukan kita — hanya PKR dan saya sahaja yang berpeluang mengetuai pasukan kita.

Beza kerusi saya dan PKR hanyalah 5. Dalam PRU akan datang, jika nasib menyebelahi saya dan saya menang 5 kerusi tambahan sementara PKR hilang 5 kerusi, tidak ada sebab kenapa saya tidak boleh menjadi ketua pasukan, dengan PKR dan DAP la yang menjadi pembantu saya.

Dengan menyingkirkan MIC dan MCA, saya juga akan menang dengan satu lagi cara — kerana sekiranya MIC dan MCA meninggalkan saya, kemungkinan besar mereka akan menyertai lawan saya, iaitu Bersatu dan PAS dalam Perikatan Nasional.

Sekiranya MIC dan MCA menyertai Pas dan Bersatu, mereka akan menjadi beban kepada Pas dan Bersatu, seperti mereka menjadi beban kepada saya sekarang.

Bersatu dan PAS adalah pesaing terbesar saya. Dalam pilihan raya, mereka adalah lawan yang saya bertembung secara langsung.

Sekarang ini, Bersatu dan PAS ada kelebihan ke atas saya. Tetapi selepas MIC dan MCA melemahkan mereka seperti mana mereka melemahkan saya sekarang, siapa tahu — mungkin saya pula yang akan ada kelebihan ke atas mereka.

Apabila saya ada kelebihan ke atas mereka, saya akan menang besar bila saya bertembung dengan mereka dan apabila saya menang besar, saya mungkin menjadi pemenang terbesar dalam pasukan saya sendiri. Bila saya menjadi pemenang terbesear dalam pasukan saya sendiri, maka PKR dan DAP tiada pilihan lain selain menobatkan saya sebagai ketua pasukan.

Saya juga dapat lihat zaman parti berasaskan kaum, yang suatu ketika dahulu saya juarai, sudah berakhir.

Hari ini, kalau saya mahu memerintah Malaysia, say perlu menjadi parti berbilang kaum, atau sekurang kurangnya, menjadi sebahagian daripada sebuah gabungan berbilang kaum.

Satu-satunya parti berasaskan kaum dan agama yang masih kuat ialah PAS — tetapi PAS kekal kuat kerana ia tidak perlu menjaga kepentingan parti-parti kaum lain.

Memang betul PAS ada Gerakan dan MIPP, tetapi mereka tidak cukup kuat untuk menyusahkan PAS.

Apabila MIC dan MCA menyertai mereka, baru lah PAS akan terbeban dengan tanggungjawab menjaga parti kaum yang lain — dan apabila PAS terbeban, saya lah yang akan paling mendapat manfaat yang terbesar.

Ramai orang melihat MIC dan MCA mahu keluar BN sebagai keputusan MIC dan MCA, tetapi pada pandangan saya, ia sebenarnya keputusan Umno.

Umno hanya mencipta keadaan supaya MIC dan MCA keluar, supaya ia tidak dipersalahkan kerana memecah-belahkan BN — sebaliknya MIC dan MCA yang dipersalahkan.

Jika saya betul, tidak lama selepas MIC dan MCA keluar BN, saya percaya Umno, PKR dan DAP akan membentuk gabungan baharu — dan saya akan menamakannya buat sementara sebagai Harapan Nasional.

Harapan Nasional kemudiannya akan menggantikan BN sebagai gabungan dominan di negara ini, dan mengembalikan kestabilan politik negara.

Jika apa yang saya ramalkan ini berlaku, saya harap anda ingat bahawa anda mendengarnya dalam artikel ini terlebih dahulu.


TheRealNehruism (nehru.sathiamoorthy@gmail.com) adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi creator@newswav.com.