
KUALA LUMPUR 19 Dis – Harga minyak sawit mentah (CPO) Malaysia dijangka kekal dalam julat RM3,800 hingga RM4,100 satu tan pada Januari 2026, disokong oleh imbangan penawaran dan permintaan yang lebih stabil, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
MPOC berkata suku pertama lazimnya merupakan tempoh pengeluaran bermusim yang lebih rendah, manakala permintaan dijangka meningkat menjelang sambutan Tahun Baharu Cina dan Ramadan, sekali gus menyokong pengurangan paras stok.
“Bagaimanapun, limpahan kelemahan daripada pasaran tenaga, ditambah dengan bekalan biji minyak global yang mencukupi, dijangka mengehadkan sebarang pemulihan harga yang mampan dan mengekalkan harga dalam julat dagangan yang sempit,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengeluaran minyak sawit Malaysia pada November susut 108,000 tan atau 5.3% bulan ke bulan kepada 1.93 juta tan.
Eksport pula gagal memenuhi jangkaan pada 1.21 juta tan, terutamanya disebabkan permintaan lebih lemah dari Afrika Sub-Sahara selepas rantau itu mengimport hampir 600,000 tan pada Oktober, sekali gus mengurangkan pembelian pada November.
Permintaan dari Kesatuan Eropah (EU) turut menyusut selepas blok itu mengesahkan penangguhan selama 12 bulan pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR), yang menghapuskan keperluan pengimport membina stok langkah berjaga-jaga.
Menurut MPOC, gabungan pengeluaran yang kukuh dan eksport yang lebih lemah telah mendorong stok minyak sawit Malaysia meningkat kepada 2.83 juta tan pada November, paras tertinggi sejak Mac 2019.
“Menjelang 2026, eksport minyak sawit Malaysia diunjurkan meningkat kepada 16.2 juta tan, manakala pengeluaran dijangka menurun kepada 19.7 juta tan apabila pokok kelapa sawit memasuki fasa rehat selepas prestasi yang baik pada 2025,” katanya.
Dalam pada itu, MPOC berkata sentimen pasaran minyak sayuran global terus tertekan susulan penurunan harga minyak mentah, yang jatuh kepada sekitar AS$55 setong pada Disember 2025, paras terendah sejak Februari 2021.
“Keadaan ini meningkatkan lagi daya saing harga minyak sawit berbanding minyak kacang soya dan minyak sayuran lain, yang dijangka mendorong peningkatan permintaan global dalam tempoh terdekat,” katanya.
Walaupun stok minyak sawit Malaysia kekal tinggi, meningkat kira-kira satu juta tan berbanding setahun lalu, MPOC berkata stok Indonesia dijangka menyusut menjelang akhir tahun.
Indonesia diunjurkan mengeksport 26.5 juta tan minyak sawit pada 2025, manakala penggunaan domestik dianggarkan sekitar 23 juta tan, merangkumi kira-kira 10 juta tan untuk kegunaan makanan dan 13 juta tan bagi biodiesel.
“Jumlah eksport dan penggunaan domestik sekitar 49.5 juta tan secara amnya sejajar dengan anggaran pengeluaran 49 juta tan, yang menunjukkan defisit kecil stok.
“Secara keseluruhan, kedudukan stok yang berbeza antara Malaysia dan Indonesia menunjukkan tiada kebimbangan terhadap lebihan bekalan,” katanya. - DagangNews.com


