liza06/05/2026 - 18:01 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Mei – Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia naik 5 sen kepada RM5.17 seliter bagi tempoh 7 Mei hingga 13 Mei 2026 berbanding RM5.12 seliter pada tempoh sebelumnya.
Kementerian Kewangan berkata peningkatan itu adalah selaras dengan penetapan harga mingguan berdasarkan mekanisme penetapan harga automatik (Automatic Pricing Mechanism - APM).
“Harga runcit RON97 kekal tidak berubah pada RM4.90 seliter, manakala RON95 meningkat 5 sen kepada RM4.02 seliter berbanding RM3.97 seliter pada minggu sebelumnya,” kata Kementerian.
Kementerian Kewangan memaklumkan penetapan harga runcit bahan api itu dibuat berdasarkan purata harga minyak dunia minggu terdahulu, yang masih dipengaruhi ketidaktentuan pasaran global.
Menurut kenyataan itu, harga minyak mentah global kekal tinggi melebihi AS$100 setong berikutan konflik berterusan di Asia Barat, selain gangguan terhadap kemudahan pengeluaran dan penapisan minyak di beberapa negara pengeluar utama.

Keadaan tersebut telah menyumbang kepada tekanan terhadap bekalan minyak mentah dan produk petroleum global, sekali gus memberi kesan kepada harga runcit bahan api di pasaran domestik.
Dalam masa sama, Kementerian berkata harga produk petroleum bersubsidi secara bersasar terus dikekalkan bagi memastikan kebajikan rakyat serta kelangsungan operasi sektor tertentu yang terkesan dengan turun naik harga global.
Antara harga bersubsidi yang dikekalkan termasuk diesel di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pada RM1.99 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pada RM2.15 seliter, serta Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.05 seliter.
Kerajaan MADANI turut menyeru rakyat supaya mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat bagi membantu mengurangkan tekanan terhadap kos sara hidup serta memastikan kelestarian bekalan negara.
Dalam masa sama, kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran global dan mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada kesan turun naik harga, selain memastikan bekalan bahan api negara kekal stabil dan mencukupi. - DagangNews.com



