Langganan Xbox Game Pass membolehkan pemilik konsol permainan Xbox untuk memainkan permainan-permainan video tanpa perlu mereka membeli permainan tersebut. Ini membolehkan mereka untuk mencuba banyak jenis permainan terlebih dahulu sebelum mereka membelinya, ataupun memainkan kesemuanya secara penuh tanpa perlu membeli apa-apa.
Pada mulanya langganan Xbox Game Pass dilihat cukup murah untuk sesiapa sahaja mencubanya, tetapi pada penghujung tahun lepas, harga langganan tersebut telah meningkat, dengan langganan PC Game Pass juga, iaitu langganan permainan komputer yang boleh dimuat-turun melalui Microsoft Store yang ditawarkan di Malaysia telah dinaikkan ke RM25 sebulan.
Terkini, CEO Xbox baru, Asha Sharma dilaporkan telah menghantar satu memo kepada bahagian Xbox dan mengatakan bahawa langganan Xbox kini dilihat sebagai terlalu mahal oleh ramai pelanggan-pelanggan Xbox, yang mana Game Pass kini hadir dengan tiga tahap langganan, termasuklah Essentials pada $9.99, Premium pada harga $14.99 dan Ultimate pada harga $29.99 sebulan.

Langganan Ultimate khususnya sebelum ini hadir degan tanda harga yang jauh lebih murah, dan memberi akses kepada perkhidmatan lain seperti PC Game Pass dan juga Xbox Cloud Gaming.
Memo yang dikeluarkan ini juga nampaknya telah sedikit sebanyak memberi gambaran bahawa Xbox akan menawarkan pelan langganan baharu yang lebih mampu milik. dan dijangka menawarkan pengguna nilai yang jauh lebih baik berbanding apa yang ada sekarang.
Dalam memo yang diperlihatkan tersebut, Asha juga telah menyatakan pelan jangka masa pendek dan jangka masa panjang untuk langganan tersebut. Untuk masa terdekat ini, pelan beliau nampaknya ialah untuk memperkenalkan pelan langganan yang lebih mampu milik, dan untuk jangka masa panjang, beliau mahu menjadikan langganan Xbox Game Pass sebagai sebuah langganan yang lebih fleksibel dan membolehkan pelanggan untuk langgan apa yang mereka mahu gunakan melalui Game Pass.
Di Malaysia, hanya PC Game Pass yang ditawarkan buat masa ini. Konsol permainan Xbox boleh dibeli, tetapi akaun dan langganan akan perlu dilakukan melalui akaun yang didaftarkan di negara lain kerana perkhidmatan Xbox dan Xbox Game Pass tidak ditawarkan secara rasmi di Malaysia.




