
PETALING JAYA: Harga minyak mentah dijangka kekal tinggi berikutan gangguan bekalan bahan api dari Asia Barat yang berpotensi menyebabkan penawaran lebih rendah berbanding permintaan, sekali gus memberi tekanan kepada inflasi global dan kewangan kerajaan.
Sehingga lewat petang semalam, minyak mentah Brent melonjak 3.11 peratus kepada AS$107.9 (RM439.25) setong, manakala penanda aras Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) naik 3.13 peratus kepada AS$103.2 (RM420.12) setong.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, perkembangan berkenaan boleh memberi kesan langsung kepada kos bahan api, termasuk meningkatkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi kerajaan.
“Sememangnya harga minyak mentah akan terus tinggi disebabkan halangan terhadap bekalan bahan api dari Asia Barat akan menyebabkan penawaran bahan api berkurangan berbanding permintaan.
“Justeru, perkara ini akan memberi impak kepada inflasi global dan juga kewangan kerajaan terutama kepada perbelanjaan subsidi bahan api,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, keadaan itu memerlukan semua pihak meneliti semula kos operasi perniagaan dan mengambil langkah pragmatik bagi mengurangkan kesan daripada kenaikan kos susulan harga minyak yang tinggi.
Jelasnya, antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk meningkatkan penggunaan teknologi.
“Ringkasnya, kejutan ini menuntut semua pihak menyemak semua aktiviti yang kalau dahulu dikatakan sebagai ‘perniagaan seperti biasa’ bagi memastikan kos perniagaan dan individu dapat dikurangkan,” ujarnya.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIBB) berkata, Brent kembali melepasi AS$100 (RM406.70) setong apabila risiko meningkat di Selat Hormuz, Bab el-Mandeb dan saluran paip East-West Arab Saudi, manakala gangguan bekalan dari Asia Barat menyebabkan defisit minyak global semakin melebar.
Katanya, import minyak mentah China juga kembali meningkat, sekali gus menambah risiko kenaikan harga minyak.
“Kami kini menjangkakan harga Brent berada pada paras AS$95 (RM386.37) hingga AS$100 (RM406.70) setong menjelang akhir tahun kalendar 2026 dan menaikkan unjuran harga purata bagi 2026 kepada AS$90 (RM366.03) setong daripada AS$80 (RM325.36) setong sebelum ini.
“Kami mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor berkenaan, dengan Dialog Group Berhad (Dialog) sebagai pilihan utama berikutan prospek pendapatan yang lebih jelas bagi tahun kewangan 2027 hingga 2028,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurutnya, Petronas Chemicals Group Berhad (PCHEM) dijangka mendapat manfaat daripada peningkatan harga jualan purata (ASP) dan kadar penggunaan kapasiti.
“Kami juga kini positif terhadap Dayang Enterprise Holdings Berhad (Dayang) menjelang potensi pemulihan perbelanjaan modal (capex) sektor huluan Petronas pada tahun kewangan 2027,” jelasnya. – UTUSAN
The post Harga minyak dijangka sekitar AS$100 setong hingga akhir tahun appeared first on Utusan Malaysia.




