amree15/09/2026 - 09:40 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Sept — Kenaikan harga minyak mentah global dijangka terus memberi tekanan kepada syarikat penapisan dan petrokimia susulan peningkatan kos bahan mentah, sedangkan keupayaan untuk memindahkan kos tinggi kepada pelanggan kekal terhad, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata keadaan berkenaan menjadi antara cabaran utama sektor minyak dan gas (O&G) ketika pasaran minyak masih berdepan gangguan bekalan, ketegangan geopolitik serta kekangan kapasiti penapisan global.
Ia menjangkakan harga minyak mentah kekal tinggi sepanjang 2026 sebelum mula reda pada 2027, dengan Amerika Syarikat (AS) sendiri mengunjurkan harga purata Brent pada AS$91 (RM370) setong bagi 2026 berbanding AS$74 (RM301) setong pada 2027.
Sementara itu, S&P Global menjangkakan harga Brent pada AS$90 (RM366) setong atau lebih bagi 2026 dan sekitar AS$85 (RM346) setong pada 2027, namun harga dijangka tidak stabil dalam julat AS$80 (RM325) hingga AS$100 (RM407) setong berikutan ketidaktentuan geopolitik.
"Gangguan bekalan minyak dari Timur Tengah, termasuk pengurangan pengeluaran dan eksport Iran serta serangan ke atas laluan perkapalan utama, terus meningkatkan tekanan terhadap rantaian bekalan minyak global," jelas nota MBSB Research.
Ujarnya, masalah gangguan di Selat Hormuz dan Laut Merah turut menyebabkan laluan penghantaran menjadi lebih panjang dan mahal, sekali gus meningkatkan kos logistik serta menyumbang kepada ketidaktentuan pasaran minyak.

Namun, kenaikan harga minyak dijangka mempunyai had susulan kerosakan infrastruktur penapisan akibat konflik serta pengurangan pembelian minyak mentah melalui laut oleh China. S&P Global mengunjurkan permintaan minyak mentah global pada suku keempat 2026 sekitar 80 juta tong sehari, turun 6% tahun ke tahun.
"Bagi Malaysia, harga Brent yang tinggi memberi kesan dua hala kerana negara merupakan pengeksport bersih minyak mentah dan gas asli cecair (LNG), tetapi pada masa sama pengimport bersih produk petroleum bertapis," tambah firma tersebut.
MBSB Research berkata kenaikan harga Brent memberi manfaat kepada pendapatan PETRONAS dan berpotensi mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan, dengan setiap kenaikan berterusan AS$1 (RM4.07)setong dianggarkan menjana tambahan hasil kerajaan sekitar RM300 juta hingga RM350 juta setahun.
Bagaimanapun, manfaat tersebut sebahagiannya boleh terhakis akibat kos subsidi bahan api yang lebih tinggi, khususnya jika harga petrol runcit terus dikekalkan pada RM1.99 seliter, sekali gus memberi tekanan kepada perbelanjaan kerajaan dan kedudukan fiskal.
Dari sudut sektor secara keseluruhan, MBSB Research kekal 'positif' terhadap O&G, dengan segmen huluan dan pertengahan dijangka lebih berdaya tahan berbanding hiliran.
Justeru, firma berkenaan memilih MISC Berhad dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM9.22 serta Dialog Group Berhad (beli, TP RM2.57) sebagai pilihan utama sektor. - DagangNews.com





