Harga minyak sawit mentah dijangka kekal melebihi RM4,600 satu tan pada November – MPOC

LocalBusiness & Finance
22 Oct 2026 • 8:57 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Harga minyak sawit mentah dijangka kekal melebihi RM4,600 satu tan pada November – MPOC Image from: Harga minyak sawit mentah dijangka kekal melebihi RM4,600 satu tan pada November – MPOC sarah22/10/2026 - 08:57 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Okt - Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal kukuh melebihi RM4,600 satu tan pada November ini, didorong peningkatan permintaan eksport dari India dan China ketika pengeluaran domestik dijangka menyusut secara bermusim.

 

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, prospek harga komoditi itu turut disokong bekalan minyak sayuran alternatif yang semakin terhad di pasaran global, selain penggunaan minyak sawit yang tinggi bagi pengeluaran biodiesel, khususnya di Indonesia.

 

Menurut MPOC, pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat 16.4% kepada 2.11 juta tan pada September, disokong hasil buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi dan peningkatan kadar perahan minyak. Bagaimanapun, pengeluaran dipercayai telah mencapai kemuncaknya pada bulan berkenaan sebelum dijangka menyusut secara bermusim dalam tempoh lima bulan berikutnya.

 

"Penurunan pengeluaran bermusim dijangka mengurangkan paras stok semasa, dengan inventori minyak sawit Malaysia diunjurkan menyusut dari November 2026 hingga Februari 2027, sekali gus memberikan sokongan tambahan kepada harga pada suku terakhir tahun ini," menurut MPOC dalam satu kenyataan.

 

Dari segi perdagangan, eksport minyak sawit terkumpul meningkat 4.3% bagi sembilan bulan pertama 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu, meskipun penghantaran pada September merosot 12.1% kepada 1.12 juta tan berikutan kekurangan kapal di Selat Melaka serta persaingan eksport yang meningkat dari Indonesia.

 

Bagaimanapun, MPOC menjangkakan kelemahan eksport itu hanya sementara, dengan penghantaran berpotensi meningkat ketara antara Oktober hingga Disember susulan ketersediaan kapal yang semakin baik, bekalan minyak sayuran alternatif yang terhad serta harga minyak sawit yang lebih menarik selepas menurun daripada paras tertinggi September.

 

Permintaan dari India dijangka meningkat apabila negara itu menambah semula stok minyak sayuran selepas sambutan Deepavali pada November, selain mendapat manfaat daripada pengurangan duti import minyak sayuran. China juga dijangka meningkatkan penggunaan minyak sawit berikutan penyusutan bekalan kacang soya dari Brazil.

 

Pada masa sama, gangguan logistik berterusan di rantau Laut Hitam mengehadkan aktiviti penghancuran biji bunga matahari dan bekalan minyak bunga matahari di pasaran global, manakala bekalan minyak kacang soya dari Amerika Selatan turut berkurangan ketika rantau itu memasuki musim penanaman dari Oktober hingga Disember.

 

MPOC berkata, harga tenaga yang tinggi turut menyokong permintaan minyak sawit bagi pengeluaran biodiesel. Berdasarkan data Gabungan Pengusaha Kelapa Sawit Indonesia (GAPKI), penggunaan minyak sawit untuk biodiesel di Indonesia mencecah rekod bulanan 1.35 juta tan pada Ogos 2026, iaitu 75% lebih tinggi berbanding penggunaan bagi sektor makanan. Jumlah itu bersamaan keperluan tahunan kira-kira 16 juta tan dan menunjukkan Indonesia berada di landasan ke arah pelaksanaan penuh campuran biodiesel B50.

 

Namun, MPOC mengingatkan bahawa penurunan harga tenaga serta penggunaan minyak sayuran global yang lebih lemah daripada jangkaan dalam sektor makanan akibat inflasi dan tekanan ekonomi kekal sebagai risiko utama yang boleh menjejaskan prospek harga minyak sawit.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved