sarah21/10/2026 - 08:59 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Okt - Kerajaan memutuskan untuk mengekalkan syarat minimum 30% ekuiti Bumiputera dalam urusan perolehan hartanah yang tertakluk kepada kelulusan Kementerian Ekonomi, sekali gus tidak meneruskan cadangan meningkatkan syarat itu kepada 50% bagi pelupusan hartanah oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Kementerian Ekonomi berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pihak berkepentingan serta melaksanakan semakan semula terhadap cadangan peningkatan syarat ekuiti Bumiputera berkenaan.
Menurut kementerian itu, kerajaan sebaliknya memutuskan supaya pelaksanaan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera dalam kalangan GLC dan GLIC diteruskan melalui langkah pentadbiran.
"Syarat ekuiti Bumiputera pada tahap minimum 30% diteruskan selaras dengan Garis Panduan Perolehan Hartanah (GPPH) yang berkuat kuasa mulai 13 Julai 2022, yang tertakluk kepada kelulusan Kementerian Ekonomi," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Kementerian itu menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang meminta penjelasan mengenai rasional cadangan meningkatkan kuota ekuiti Bumiputera daripada 30% kepada 50% bagi syarikat swasta yang terlibat dalam pelupusan hartanah GLC dan GLIC bernilai melebihi RM20 juta.
Guan Eng turut meminta kerajaan menyatakan nilai urus niaga yang terlibat selepas peraturan baharu ditetapkan serta sama ada kuota berkenaan boleh dikembalikan kepada 30%.
Mengulas mengenai rasional cadangan asal, kementerian itu berkata, peningkatan syarat ekuiti merupakan antara instrumen dasar yang dipertimbangkan bagi memperluas penyertaan dan penguasaan Bumiputera terhadap hartanah strategik serta berimpak tinggi.
Menurutnya, kerajaan sentiasa berusaha memastikan aset strategik negara, khususnya yang dimiliki GLC dan GLIC, dapat menyumbang dengan lebih berkesan kepada agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera dan pembangunan sosioekonomi negara.
Bagaimanapun, kementerian itu tidak memperincikan nilai urus niaga hartanah yang terlibat selepas cadangan perubahan syarat ekuiti berkenaan dikemukakan.
"Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan dasar berkaitan perolehan dan pelupusan hartanah serta menilai keberkesanan instrumen yang digunakan dari semasa ke semasa," katanya.
Kementerian itu berkata, pemantauan berkenaan penting bagi memastikan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera dapat dilaksanakan secara berkesan, di samping mengambil kira perkembangan ekonomi dan keperluan semasa. - DagangNews.com






