Harga minyak sawit mentah diramal susut pada suku kedua tahun ini akibat peningkatan bekalan, kata CGS International

15/04/2025 - 09:44
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 15 April - Harga minyak sawit mentah (MSM) diramal menyusut pada suku kedua tahun ini disebabkan peningkatan bekalan dan penurunan harga, kata CGS International.
Pengeluaran minyak sawit bagi Mac 2025 menunjukkan peningkatan sebanyak 4% bulan ke bulan, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan itu berlaku walaupun penggunaan domestik yang lebih tinggi daripada jangkaan membantu mengimbangi pengeluaran yang juga melebihi jangkaan.
Pengeluaran minyak sawit juga mencatatkan jumlah yang lebih tinggi daripada jangkaan iaitu sebanyak 1.39 juta tan bagi bulan yang dikaji, mencerminkan peningkatan sebanyak 16.8% dari bulan ke bulan.
“Kami berpendapat perbezaan ini berpunca daripada peningkatan aktiviti penuaian sebelum cuti Hari Raya Aidilfitri pada ahir Mac," katanya dalam satu nota kajian.
CGS International berkata, penurunan harga MSM yang dijangka itu disebabkan oleh keadaan pengeluaran yang semakin baik dan tekanan geopolitik.
Katanya, ketidaktentuan perdagangan global yang sedang berlaku mewujudkan ketidakpastian dalam pasaran minyak makan global, yang mungkin mengganggu rantaian bekalan dan melemahkan permintaan.
Bagaimanapun, pengeluaran minyak sawit dijangka tinggi pada bulan ini, disokong pemulihan hasil dan keadaan cuaca yang menggalakkan.
Firma penyelidikan itu berkata, inventori untuk bulan ini juga dijangka kekal mendatar atau sedikit meningkat disebabkan pengeluaran yang lebih baik, walaupun eksport turut meningkat.
Katanya, walaupun eksport menunjukkan pertumbuhan kukuh pada awal bulan ini, kadar tersebut dijangka perlahan akibat gangguan bekalan gas susulan letupan besar saluran paip di Selangor pada 1 April lalu.
“Jika gangguan bekalan gas ini berterusan selama sebulan dan menjejaskan operasi loji oleokimia dan penapisan di kawasan terjejas, ini akan memberi kesan kepada kira-kira 10% hingga 15% daripada jumlah keseluruhan eksport minyak sawit Malaysia,” kata firma penyelidikan itu.
CGS International mengekalkan saranan “neutral” terhadap sektor tersebut dan mengekalkan unjuran harga MSM bagi tahun ini pada RM4,000 satu tan.
“Kami mancadangkan tumpuan diberikan kepada syarikat huluan Malaysia di tengah-tengah ketidaktentuan di Indonesia, dengan keutamaan kepada syarikat yang menawarkan hasil dividen tinggi seperti Hap Seng Plantations Holdings Bhd dan Ta Ann Holdings Bhd.
“Kami juga menyukai SD Guthrie Bhd dengan rancangan penjanaan hasildaripada aset bukan terasnya,” katanya.- DagangNews.com
standard
