Harga minyak sawit mentah diunjur stabil pada purata RM4,345 setiap tan hingga 1Q26 - HLIB

08/10/2025 - 11:15
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 8 Okt - Harga minyak sawit mentah (MSM) diunjur stabil pada purata RM4,345 setiap tan untuk jangka sederhana dan berkemungkinan berterusan hingga suku pertama tahun 2026 (1Q26), menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Katanya, faktor utama yang menyokong trend positif itu termasuk kemungkinan berlakunya fenomena La Nina yang boleh mengekang bekalan minyak sawit dan soya, mandat biodiesel yang lebih tinggi di Indonesia, serta kebimbangan baharu terhadap pertumbuhan pengeluaran sawit yang perlahan.
“Walaupun berdepan kitaran tuaian bermusim yang lebih tinggi dan permintaan eksport yang sederhana, harga MSM kekal stabil pada purata RM4,345 satu tan. Ini menunjukkan, faktor bekalan dan permintaan semasa telah sebahagian besarnya diambil kira dalam pasaran,” katanya dalam satu nota kajian.
Susulan prestasi harga yang memberangsangkan, HLIB meningkatkan andaian harga MSM sebanyak RM100 satu tan bagi 2025 dan RM150 satu tan bagi 2026, menjadikan andaian baharu masing-masing RM4,300 dan RM4,200 satu tan.
Ia turut meningkatkan unjuran keuntungan bagi syarikat perladangan di bawah liputannya antara 0.3% hingga 15.8%, hasil daripada semakan semula ke atas andaian harga purata MSM serta sedikit pelarasan terhadap pengeluaran tandan buah segar (BTS) dan kos pengeluaran MSM.
Firma penyelidikan itu turut menaikkan penarafan sektor perladangan kepada “overweight” daripada “neutral”, sejajar dengan tinjauan positif terhadap prospek harga MSM.
Menurutnya, kebimbangan terhadap pertumbuhan pengeluaran sawit di Malaysia dan Indonesia dijangka timbul semula, sekali gus menyokong harga MSM pada paras semasa, khususnya apabila tempoh tuaian puncak bermula pada September 2025.
Penurunan pertumbuhan pengeluaran itu katanya, berpunca daripada beberapa faktor utama termasuk profil pokok sawit yang semakin tua, kadar penanaman semula yang perlahan, serta kekangan pembukaan tanah baharu akibat moratorium penanaman baharu di Indonesia sejak 2018 dan komitmen kelestarian oleh Malaysia.
HLIB berkata, langkah kerajaan Indonesia mengambil alih lebih 674,000 hektar ladang sawit – dengan 1.8 juta hektar lagi sedang disiasat – dijangka menyebabkan pengeluaran sawit negara itu berkurang dan mengurangkan pelaburan baharu dalam sektor tersebut, sekurang-kurangnya dalam jangka masa terdekat.
Firma penyelidikan itu turut menarik perhatian terhadap laporan beberapa agensi cuaca antarabangsa yang semakin menunjukkan kemungkinan besar berlakunya fenomena La Nina pada suku keempat 2025 (4Q25).
Sebelum ini, La Nina menyebabkan hujan lebat melebihi paras normal di Asia Tenggara dan cuaca lebih kering di Amerika Selatan, terutamanya di Brazil dan Argentina, yang merupakan pengeluar utama kacang soya dunia.
“Jika keadaan ini berlaku, pola cuaca tersebut boleh menjejaskan bekalan global minyak makan.
“Di Asia Tenggara, hujan berlebihan boleh mengganggu kerja menuai dan logistik minyak sawit di Malaysia dan Indonesia, manakala di Brazil dan Argentina, pengurangan hujan boleh menangguhkan penanaman soya dan melemahkan pertumbuhan awal tanaman,” katanya.- DagangNews.com
standard

