Pengeluaran buah tandan segar Kim Loong bagi FY26 diunjur naik sehingga 10% disokong usia pokok sawit lebih muda, kata TA Securities

30/09/2025 - 12:28
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 30 Sept - Pengeluaran buah tandan segar (BTS) Kim Loong Resources Berhad bagi tahun kewangan 2026 (FY26) diunjur meningkat antara 5% hingga 10% disokong profil umur pokok sawit muda yang lebih produktif serta kesinambungan program penanaman semula syarikat.
TA Securities berkata, kumpulan itu juga merancang untuk menanam semula antara 300 hingga 500 hektar pada FY26, sekali gus mengukuhkan asas pertumbuhan jangka sederhana.
Katanya, syarikat juga menjangkakan purata harga minyak sawit mentah (MSM) kekal melebihi RM4,000 setiap tan bagi tahun tersebut.
"Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati susulan harga kacang soya global yang dijangka terus tertekan disebabkan bekalan dari Amerika Selatan, meskipun permintaan bahan api bio yang stabil memberi sedikit sokongan.
"Turun naik harga MSM berkemungkinan berlaku akibat faktor cuaca serta perubahan dasar perdagangan, khususnya tarif antara China dan Amerika Syarikat (AS) yang boleh menjejaskan daya saing dan permintaan minyak sawit dalam pasaran minyak sayuran global," katanya dalam satu nota kajian.
TA Securities berkata, bagi separuh pertama FY26, keuntungan bersih terkumpul naik 1.3% tahun ke tahun kepada RM89.1 juta, mewakili 57% daripada unjuran firma penyelidik dan 55% anggaran konsensus bagi setahun penuh.
Hasil meningkat 6.7% kepada RM847.9 juta, didorong pengeluaran lebih tinggi serta purata harga jualan yang lebih kukuh.
Dalam tempoh sama, segmen perladangan merekodkan keuntungan RM85.7 juta, melonjak 26.6% tahun ke tahun, dipacu peningkatan 10.6% harga jualan BTS kepada RM848 satu tan serta pertumbuhan 4.6% pengeluaran kepada 166,600 tan.
Sebaliknya, operasi kilang sawit mencatat keuntungan RM56.4 juta, susut 15.1% tahun ke tahun ekoran margin pemprosesan yang lebih rendah akibat kadar perahan minyak (OER) yang lemah pada 1Q.
Walaupun harga jualan purata minyak sawit mentah (CPO) naik 4.9 peratus kepada RM4,288 satu tan, volum jualan merosot 2.2 peratus kepada 157,200 tan.
Firma penyelidikan itu menaikkan saranan kepada "pegang" berbanding "jual" dengan harga sasaran (TP) RM2.31 sesaham.- DagangNews.com
standard
