
Beberapa bulan lalu, kami telah melaporkan bahawa isu peperangan di Timur Tengah akan menyebabkan isu dimana harga papan litar akan menjadi semakin mahal kelak. Perkara tersebut nampaknya akan menjadi realiti tidak lama lagi dengan syarikat-syarikat pengeluar komponen komputer seperti ASUS, GIGABYTE dan MSI mengatakan bahawa mereka akan menaikkan harga komponen mereka kelak.
Menurut VideoCardz yang melaporkan perkara ini, syarikat-syarikat pengeluar komponen papan induk komputer seperti yang dikatakan akan menaikkan tanda harga komponen papan induk tidak lama lagi. Terdapat beberapa sebab mengapa perkara ini berlaku.
Diantaranya ialah seperti yang kami laporkan, isu pengeboman pusat pemprosesan petroleum SABIC di Timur Tengah telah menyebabkan bahan PPE (polyphenylene ether) tidak boleh diproses, dan bekalan bahan tersebut semakin berkurangan. Selain daripada itu, permintaan tinggi dan kos yang meningkat untuk bahan-bahan lain seperti tembaga, kapsitor, komponen kuasa dan cip pengawal juga antara penyebab mengapa harga papan induk akan menjadi semakin mahal.

Tidak membantu keadaan ialah permintaan untuk komponen papan induk PC pengguna yang semakin rendah kerana harga komponen memori dan storan yang masih lagi sangat mahal. Jangkaan pasaran nampaknya ialah harga papan induk PC kelak akan meningkat dengan mendadak dari 40 ke 50 peratus, menyebabkan kos binaan komputer kelak akan menjadi semakin mahal.
Buat masa ini ia tidak diketahui lagi sekiranya peningkatan harga ini akan menyebabkan harga komponen tersebut naik untuk jenama-jenama OEM juga yang menghasilkan papan induk untuk komputer riba dan komputer desktop keluaran jenama pasang siap kelak.
Sumber: VideoCardz






