Pada pertengahan tahun ini, Google telah mengumumkan bahawa mereka akan menggantikan penjenamaan Google Chromebook, iaitu peranti yang menggunakan sistem operasi komputer riba ChromeOS dengan jenama Googlebook yang juga akan tampil dengan sistem operasi Android dengan antaramuka menyerupai ChromeOS.
Tidak banyak yang diketahui mengenai siri komputer riba Googlebook sehingga sekarang, tetapi pihak Lenovo nampaknya akan menjadi antara syarikat pertama yang akan memperkenalkan siri komputer riba tersebut pada bulan September ini.

Laman web berita teknologi Citizen Life baru-baru ini telah memperlihatkan beberapa gambar siri komputer riba terbaru jenama tersebut yang dinamakan Lenovo Googlebook 15. Gambar-gambar ini memperlihatkan rupa komputer riba yang tidak begitu berbeza apabila dibandingkan dengan rekaan sedia-ada, tetapi terdapat beberap butiran yang memudahkan perbandingan dengan komputer yang menggunakan sistem operasi Windows.

Pertama ialah logo “G” pada kekunci yang secara lazimnya memperlihatkan logo Windows, dan juga merupakan kekunci yang boleh digunakan untuk melancarkan pembantu AI Gemini, sama seperti kekunci Copilot pada komputer riba Windows. Kedua pula ialah logo berbentuk berlian pada bahagian kekunci Caps Lock yang juga merupakan kekunci yang boleh digunakan untuk melancarkan aplikasi.

Butiran lain seperti spesifikasi cip pemprosesan tidak diketahui lagi, tetapi ia juga telah disahkan bahawa komputer riba Googlebook boleh hadir dengan pelbagai jenis konfigurasi CPU dari Intel, Qualcomm dan MediaTek buat masa ini.

Jangkaan kami ialah Lenovo akan memperlihatkan penawaran Googlebook mereka sewaktu acara IFA Berlin 2026 yang akan berlangsung pada minggu pertama September ini.
Sumber: Digital Citizen




