amree10/11/2026 - 15:00 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 10 Nov — Harga pasir dan simen mencatatkan peningkatan pada Oktober 2026, dengan indeks harga seunit pasir naik sehingga 1.8% manakala simen bertambah maksimum 0.4% berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Agensi berkenaan dalam kenyataan berkata, kenaikan harga pasir tertinggi direkodkan di Sandakan, Sabah sebanyak 1.8%, diikuti Kuching, Sarawak (0.8%) dan Johor (0.5%), manakala indeks harga seunit simen meningkat antara 0.1% hingga 0.4% di beberapa kawasan.
Ujarnya lagi, bagi simen, paras kenaikan harga yang paling tinggi pada bulan berkenaan dicatatkan jabatan tersebut di Perak iaitu sebanyak 0.4%, sementara Terengganu dan Kelantan serta Kuching masing-masing merekodkan peningkatan kira-kira 0.3%.
Sebaliknya, indeks harga seunit besi mencatatkan penurunan antara 0.2% hingga 10.5% di beberapa kawasan, dengan penurunan paling ketara di Perak sebanyak 10.5%, diikuti Terengganu dan Kelantan (3.6%) serta Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (1.3%).
"Dalam laporan Indeks Kos Bahan Binaan bagi Oktober 2026, DOSM turut memaklumkan purata harga simen jenis Ordinary Portland masi lagi kekal pada RM25.80 bagi setiap beg seberat 50 kilogram," katanya.
Sementara itu, purata harga besi yang merangkumi bar bulat keluli lembut dan bar keluli tegangan tinggi Mycon 60 susut 3% kepada RM3,327.30 satu tan metrik berbanding sebanyak RM3,431.90 pada September 2026.

Bagi perbandingan tahunan, indeks harga seunit simen meningkat antara 0.6% hingga 7.4% di kebanyakan kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Kenaikan tertinggi dicatatkan di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan sebanyak 7.4%.
Dalam tempoh sama, indeks harga seunit besi pula mencatatkan penurunan antara 0.6% hingga 8.2% di seluruh kawasan di negara ini berbanding Oktober 2025, dengan Perak merekodkan penurunan tertinggi sebanyak 8.2%, diikuti Terengganu dan Kelantan (4.8%) serta Miri (4.0%).
"Dari segi indeks kos bahan binaan termasuk bar keluli, Semenanjung Malaysia mencatatkan penurunan antara 0.1% hingga 3.8% pada Oktober 2026 berbanding bulan sebelumnya, mengikut kategori bangunan dan kawasan," jelas kenyataan DOSM.
Di Sabah, indeks berkenaan naik antara 0.1% hingga 0.2% bagi hampir semua kategori bangunan di Sandakan, manakala Kota Kinabalu tidak berubah. Sarawak pula merekodkan penurunan antara 0.1% hingga 0.4% di Sibu, sementara Kuching dan Miri mencatatkan peningkatan antara 0.1% hingga 0.2%.
Secara keseluruhan, data DOSM menunjukkan pergerakan harga bahan binaan yang bercampur pada Oktober 2026 apabila pasir dan simen meningkat di beberapa kawasan, sedangkan harga besi serta indeks kos bahan binaan di Semenanjung Malaysia menunjukkan penurunan. - DagangNews.com



