Inflasi kesihatan Malaysia meningkat 3% pada 2025, kos insurans perubatan naik 9.1% – DOSM

LocalBusiness & Finance
10 Nov 2026 • 6:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Inflasi kesihatan Malaysia meningkat 3% pada 2025, kos insurans perubatan naik 9.1% – DOSM Image from: Inflasi kesihatan Malaysia meningkat 3% pada 2025, kos insurans perubatan naik 9.1% – DOSM amree10/11/2026 - 18:15 Gambar hiasan Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Nov — Kos perkhidmatan kesihatan di Malaysia meningkat 4.4% pada 2025, manakala perbelanjaan berkaitan insurans perubatan melonjak 9.1%, sekali gus mendorong inflasi kesihatan negara meningkat kepada 3.0% berbanding 1.3% pada 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Katanya, kenaikan inflasi kesihatan itu didorong terutamanya oleh kategori perkhidmatan kesihatan yang mencatatkan peningkatan lebih tinggi berbanding 0.9% pada tahun sebelumnya.

 

Peningkatan tersebut disumbangkan oleh kelas perbelanjaan berkaitan insurans kesihatan yang meningkat 9.1% pada 2025, berbanding tiada perubahan pada 2024.

 

Kategori ubat-ubatan pula, yang mempunyai pemberat terbesar sebanyak 38.9% dalam Indeks Harga Kesihatan (HPI), mencatatkan kenaikan harga 2.8% berbanding 2.2% pada 2024.

 

"Kenaikan itu dipengaruhi oleh peningkatan harga ubat-ubatan, vaksin dan produk farmaseutikal lain, termasuk ubat herba serta produk homeopati," kata DOSM dalam kenyataan pada Selasa.

 

Kedua-dua subkategori berkenaan masing-masing merekodkan kenaikan kira-kira 4.5% pada 2025, berbanding peningkatan 2.2% dan 0.7% pada tahun yang sebelumnya.

 

kesihatan_DOSM

 

Sementara itu, kategori peranti perubatan turut mencatatkan kenaikan 1.1% pada 2025 berbanding 0.6% pada 2024, didorong peningkatan sebanyak 1.3% dalam kelas perbelanjaan produk perubatan.

 

DOSM berkata kenaikan harga dalam kategori peranti perubatan itu turut disumbangkan oleh produk diagnostik perubatan yang meningkat kira-kira 1.6%, berbanding hanya 0.3% pada 2024.

 

Laporan HPI 2025 yang diterbitkan itu menyediakan ukuran perubahan harga barangan dan perkhidmatan berkaitan penjagaan kesihatan yang dibeli isi rumah, merangkumi aspek rawatan dan pencegahan.

 

Indeks berkenaan meliputi tiga kategori utama iaitu ubat-ubatan, peranti perubatan dan perkhidmatan kesihatan, dengan pengiraan menggabungkan komponen berkaitan daripada tiga kumpulan dalam Indeks Harga Pengguna (IHP).

 

DOSM berkata HPI dibangunkan melalui kerjasama agensi berkaitan kesihatan daripada sektor awam dan swasta serta penyepaduan data pelbagai sumber.

 

Data tersebut membantu kerajaan, pihak berkepentingan dan orang ramai mengenal pasti trend perubahan kos penjagaan kesihatan serta menyokong perancangan dan pemantauan sektor itu. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved