Harga pasir meningkat sehingga 7.7% pada Ogos 2026, Kota Kinabalu tertinggi – DOSM

LocalBusiness & Finance
10 Sep 2026 • 4:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Harga pasir meningkat sehingga 7.7% pada Ogos 2026, Kota Kinabalu tertinggi – DOSM Image from: Harga pasir meningkat sehingga 7.7% pada Ogos 2026, Kota Kinabalu tertinggi – DOSM hamden10/09/2026 - 16:02 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 10 Sept - Indeks harga seunit bagi pasir mencatatkan peningkatan antara 0.3% hingga 7.7% pada Ogos 2026 berbanding bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

DOSM berkata peningkatan tertinggi indeks harga bahan binaan itu dicatatkan di Kota Kinabalu sebanyak 7.7%, diikuti Perak (2.4%).

 

Sementara itu, Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan serta Sibu masing-masing merekodkan peningkatan 0.3%.

 

Perkembangan itu merupakan antara perubahan harga bahan binaan utama yang direkodkan DOSM menerusi Keluaran Khas bagi Kerja Bangunan dan Struktur, Ogos 2026, katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bagi bahan binaan lain, indeks harga seunit bagi keluli mencatatkan penurunan pada Ogos 2026, dengan penyusutan bulan ke bulan antara 0.3% hingga 2.4% di kawasan terpilih.

 

Penurunan tertinggi harga keluli direkodkan di Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan sebanyak 2.4%, diikuti Perak (1.3%) dan Pahang (0.7%).

 

Bagaimanapun, indeks harga seunit bagi simen meningkat antara 0.3% hingga 0.9% di kawasan terpilih.

 

Kota Kinabalu mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 0.9%, diikuti Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (0.4%) serta Terengganu dan Kelantan (0.3%).

 

Indeks harga seunit simen pula kekal tidak berubah di kebanyakan kawasan lain di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

 

Harga keluli dan simen turut berubah

Dalam perbandingan tahunan antara Ogos 2025 dan Ogos 2026, indeks harga seunit keluli meningkat antara 0.2% hingga 6.9% di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

 

Peningkatan tertinggi dicatatkan di Perak sebanyak 6.9%, diikuti Johor (6.4%) dan Tawau (3.8%).

 

Bagi simen, indeks harga seunit meningkat antara 0.6% hingga 6.7% pada Ogos 2026 berbanding bulan sama tahun sebelumnya di semua kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

 

Kuching merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 6.7%, diikuti Miri (6.6%) serta Kelantan dan Terengganu (5.9%).

 

DOSM berkata harga purata seunit keluli, yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan bar keluli terubah bentuk berkekuatan tegangan tinggi Mycon 60, turun 0.3% kepada RM3,484.20 setan metrik pada Ogos 2026 daripada RM3,496.10 setan metrik pada Julai 2026.

 

Sebaliknya, harga purata simen Portland biasa meningkat 0.3% kepada RM25.80 bagi beg 50 kilogram berbanding RM25.70 pada bulan sebelumnya.

 

Kos binaan Semenanjung turun

Dari segi Indeks Kos Bahan Binaan (BCI) dengan bar keluli mengikut kategori bangunan dan wilayah, Semenanjung Malaysia mencatatkan penurunan antara 0.1% hingga 1.1% pada Ogos 2026 berbanding bulan sebelumnya.

 

Bagaimanapun, BCI dengan bar keluli di Sabah meningkat antara 0.1% hingga 3.4% bagi semua kategori bangunan.

 

Sarawak turut merekodkan peningkatan BCI antara 0.1% hingga 0.4% bagi semua kategori bangunan pada bulan sama. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved