Petisyen gulung tikar Maju Holdings ditangguhkan sehingga 6 November susulan perintah sekatan baharu

LocalBusiness & Finance
9 Sep 2026 • 5:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Petisyen gulung tikar Maju Holdings ditangguhkan sehingga 6 November susulan perintah sekatan baharu Image from: Petisyen gulung tikar Maju Holdings ditangguhkan sehingga 6 November susulan perintah sekatan baharu hamden09/09/2026 - 17:30

KUALA LUMPUR 9 Sept - Prosiding petisyen gulung tikar terhadap Maju Holdings Sdn Bhd sekali lagi ditangguhkan selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa memberikan perintah sekatan yang menghalang sebarang prosiding undang-undang terhadap syarikat itu sehingga 6 November 2026.

 

Perintah berkenaan dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman Ku Hayati Ku Haron ketika prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.

 

Menurut laporan The Edge, perintah sekatan itu susulan saman pemula yang difailkan pada 2 September 2026 oleh VLA Architects Sdn Bhd, yang mendakwa dirinya sebagai salah seorang pemiutang Maju Holdings.

 

 

 

 

 

Berdasarkan draf perintah yang diberikan Mahkamah Tinggi Shah Alam, VLA Architects dibenarkan mengadakan mesyuarat dengan pemiutang Maju Holdings bagi mempertimbangkan cadangan skim pengaturan.

 

Pada masa sama, perintah itu turut menyekat prosiding terhadap Maju Holdings, termasuk petisyen penggulungan yang sedang berjalan.

 

Peguam VLA Architects, Kriishand G Krishnan, mengesahkan kepada mahkamah bahawa permohonan berkenaan telah diserahkan kepada Maju Holdings pada Jumaat lalu, 4 September.

 

Bagaimanapun, Maju Holdings hanya memaklumkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai perkara tersebut lewat Selasa, selepas waktu pejabat dan sehari sebelum tarikh pendengaran yang telah ditetapkan.

 

Ku Hayati menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kelewatan pemberitahuan itu serta melahirkan kekesalan berhubung pembaziran masa dan sumber kehakiman susulan perkara berkenaan.

 

Beliau kemudian menetapkan 11 November 2026 sebagai tarikh pendengaran seterusnya.

 

Perintah sekatan terbaharu itu merupakan kali ketiga prosiding petisyen penggulungan Maju Holdings ditangguhkan susulan permohonan berkaitan penyelamatan korporat sejak petisyen berkenaan difailkan pada 2023.

 

Prosiding itu turut menjadi lebih kompleks susulan beberapa perintah mahkamah terdahulu, termasuk keputusan pada Jun yang memerlukan kebenaran mahkamah terlebih dahulu bagi permohonan pengurusan kehakiman.

 

Pada Ogos pula, satu perintah interim dikeluarkan bagi menghalang Maju Holdings daripada membuat permohonan yang boleh mencetuskan moratorium secara automatik.

 

Petisyen gulung tikar terhadap Maju Holdings difailkan oleh pemiutangnya, Bridgex Sdn Bhd, pada 2023 dan ditetapkan untuk pendengaran pada Rabu.

 

 

 

 

 

 

Bagaimanapun, pendengaran tersebut tidak dapat diteruskan susulan perintah sekatan yang diperoleh VLA Architects.

 

Bridgex diwakili peguam David Matthews dan Ivanpal Singh Grewal, selain mendapat sokongan beberapa pemiutang lain termasuk Zafas Sdn Bhd, Pembinaan Melima Sdn Bhd dan Antah Schindler Sdn Bhd. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved