liza25/11/2026 - 18:26 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Nov – Hengyuan Refining Company Berhad mencatatkan lonjakan keuntungan selepas cukai (PAT) kepada RM557.95 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY26), berbanding RM21.04 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan ketara itu dicatatkan ketika hasil kumpulan meningkat 51.6% kepada RM5.48 bilion berbanding RM3.62 bilion sebelumnya disokong harga jualan yang lebih tinggi bagi semua produk petroleum utama.
Menurut laporan kewangan yang dikemukakan kepada Bursa Malaysia, untung sebelum cukai (PBT) turut meningkat kepada RM603.89 juta berbanding RM21.04 juta pada 3QFY25.
Untung kasar pula melonjak kepada RM749.88 juta daripada RM146.28 juta, mencerminkan peningkatan prestasi perniagaan penapisan minyak syarikat.
Keuntungan sembilan bulan beralih daripada rugi kepada untung
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan pertama 2026 (9MFY26), Hengyuan Refining merekodkan PAT RM1.68 bilion berbanding kerugian selepas cukai RM332.65 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Hasil bagi tempoh itu meningkat 63.5% kepada RM15.54 bilion berbanding RM9.51 bilion, manakala PBT bertukar kepada keuntungan RM1.73 bilion daripada kerugian sebelum cukai RM233.36 juta.
Keuntungan daripada aktiviti penapisan minyak turut meningkat kepada RM2.15 bilion berbanding RM122 juta dalam tempoh sama tahun lalu, menurut ulasan prestasi kewangan syarikat.
Harga jualan lebih tinggi, operasi loji stabil pacu prestasi
Hengyuan Refining berkata, peningkatan hasil bagi suku ketiga dan tempoh sembilan bulan didorong harga jualan lebih tinggi merentasi semua produk utama.
Walaupun jumlah jualan pada suku ketiga lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu, jumlah jualan terkumpul bagi sembilan bulan meningkat selepas aktiviti jualan dalam tempoh perbandingan terjejas akibat kerja penyelenggaraan berjadual loji.
Syarikat turut mengaitkan peningkatan keuntungan sebelum cukai dengan kestabilan loji, operasi yang berdaya tahan serta pelaksanaan strategi pengurusan risiko dan kewangan secara berkesan.
Dividen interim kedua 20 sen sesaham
Dari segi prestasi suku ke suku, hasil Hengyuan Refining meningkat sedikit kepada RM5.48 bilion pada 3QFY26 berbanding RM5.43 bilion pada suku kedua 2026 disokong jumlah jualan lebih tinggi walaupun purata harga produk utama lebih rendah.
PBT turut meningkat kepada RM603.89 juta berbanding RM601 juta pada suku sebelumnya, disumbangkan jumlah jualan lebih tinggi, margin penapisan lebih baik bagi semua produk utama serta kos kewangan lebih rendah.
Dalam perkembangan berkaitan pemegang saham, syarikat mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 20 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 (FY2026).
Jumlah dividen yang telah dibayar atau perlu dibayar bagi FY2026 kini berjumlah 30 sen sesaham, termasuk dividen interim pertama 10 sen sesaham yang dibayar pada 18 September 2026.
Bekalan produk petroleum dijangka kekal terhad
Mengenai prospek, Hengyuan Refining menjangkakan bekalan bahan api pengangkutan berasaskan petroleum kekal terhad susulan ketegangan geopolitik berterusan di Timur Tengah serta gangguan operasi penapisan di Rusia.
Peningkatan kos penghantaran dan penyusutan rizab minyak global turut menambah tekanan terhadap pasaran, manakala harga produk petroleum bertapis, khususnya diesel, dijangka kekal relatif tinggi berikutan gangguan berterusan terhadap aktiviti penapisan dan pengangkutan.
Tanpa mengambil kira sebarang keadaan luar jangka, syarikat kekal berhati-hati optimistik untuk mengekalkan prestasi operasi dan kewangan yang memuaskan bagi FY2026, dengan memberi tumpuan kepada kebolehpercayaan loji serta kestabilan operasi. - DagangNews.com






