Kelington catat PAT RM128.3 juta, buku tempahan tertinggi dalam sejarah RM4.49 bilion

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 5:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kelington catat PAT RM128.3 juta, buku tempahan tertinggi dalam sejarah RM4.49 bilion Image from: Kelington catat PAT RM128.3 juta, buku tempahan tertinggi dalam sejarah RM4.49 bilion liza24/11/2026 - 17:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov – Kelington Group Berhad (KGB) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM128.26 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY2026), meningkat 27% berbanding RM100.67 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Peningkatan keuntungan itu dicapai seiring pertumbuhan hasil sebanyak 22% kepada RM1.06 bilion daripada RM868.67 juta sebelumnya, manakala buku tempahan tertunggak kumpulan itu turut mencecah paras tertinggi dalam sejarah sebanyak RM4.49 bilion.

 

Pencapaian buku tempahan itu disokong kontrak baharu bernilai RM4.08 bilion yang diperoleh sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, sekali gus menyediakan asas kepada pertumbuhan perniagaan kumpulan bagi baki tahun kewangan 2026 dan seterusnya.

 

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY2026), KGB merekodkan PAT RM56.5 juta, meningkat 37% berbanding RM41.14 juta dalam suku sama tahun lalu.

 

Hasil bagi suku berkenaan turut meningkat 40% kepada RM444.21 juta berbanding RM316.37 juta sebelumnya, disokong pengiktirafan hasil lebih tinggi daripada projek yang sedang dilaksanakan.

 

Infrastruktur industri pacu pertumbuhan

Mengikut segmen perniagaan, Advanced Industrial Infrastructure mencatatkan peningkatan hasil tertinggi sebanyak 130% kepada RM123.1 juta pada 3QFY2026 berbanding RM53.6 juta setahun sebelumnya.

 

Pertumbuhan itu disumbangkan kemajuan pelaksanaan kontrak baharu di Malaysia, manakala segmen Advanced Engineering (Ultra High Purity) kekal sebagai penyumbang hasil terbesar kumpulan dengan RM270.2 juta, meningkat 32% dan mewakili 61% daripada jumlah hasil suku berkenaan.

 

Bagaimanapun, segmen Process Engineering mencatatkan penurunan hasil 49% kepada RM13.2 juta berikutan beberapa projek di Taiwan dan Singapura selesai, manakala segmen Industrial Gases merekodkan hasil stabil sebanyak RM33.5 juta.

 

Dari segi pasaran geografi, Malaysia mencatatkan pertumbuhan hasil 49% pada suku ketiga, diikuti Taiwan dan China masing-masing sebanyak 35% dan 22%. Bagaimanapun, hasil dari Singapura merosot 18% berikutan perbezaan masa pelaksanaan projek dan pengiktirafan hasil.

 

Kontrak semikonduktor India bernilai RM1.83 bilion

Dalam perkembangan perniagaan antarabangsa, KGB pada 14 September 2026 menerima surat anugerah dengan nilai kontrak sementara AS$452 juta (kira-kira RM1.83 bilion) bagi menyediakan perkhidmatan pemasangan sistem kemudahan dan sambungan peralatan untuk sebuah kilang fabrikasi wafer semikonduktor di Gujarat, India.

 

Kumpulan itu turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Tata Electronics pada 18 September 2026 bagi mempercepatkan kesiapsiagaan operasi kilang semikonduktor bernilai AS$11 bilion milik syarikat berkenaan di Dholera, Gujarat.

 

Di Malaysia, KGB memperoleh tiga kontrak utama bagi projek kemudahan pembuatan storan data termaju di Kuching, Sarawak, antara September hingga Oktober 2026, menjadikan nilai terkumpul kontrak dan pesanan pembelian bagi projek itu kira-kira RM544 juta.

 

Kontrak berkenaan merangkumi kerja infrastruktur tapak, bekalan elektrik voltan tinggi, struktur keluli serta sistem air proses kritikal, dengan kumpulan menjangkakan peluang tambahan apabila projek itu berkembang.

 

Sementara itu, segmen gas industri KGB meneruskan pengembangan di India menerusi pembangunan loji pemisahan udara (Air Separation Unit) komersial berkapasiti 300 tan sehari di Maharashtra yang dijadualkan siap pada suku ketiga 2028.

 

Tender RM7.76 bilion sokong prospek pertumbuhan

Mengulas prospek, KGB berkata peningkatan permintaan cip berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta pelaburan dalam kemudahan pembuatan semikonduktor dijangka terus menyokong permintaan terhadap penyelesaian kejuruteraannya.

 

Kumpulan itu mempunyai nilai tender sebanyak RM7.76 bilion setakat 30 September 2026, dengan Singapura menjadi penyumbang terbesar, diikuti Malaysia, China, Eropah dan Taiwan.

 

Dalam perkembangan berkaitan pemegang saham, lembaga pengarah KGB mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak tiga sen sesaham serta dividen interim khas satu sen sesaham, menjadikan jumlah keseluruhan empat sen sesaham atau RM35.22 juta yang akan dibayar pada 8 Januari 2027.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu turut mendedahkan kemungkinan pendedahan kerugian pelaburan kira-kira RM14.7 juta daripada pelaburannya bernilai RM40 juta dalam AmanahRaya Syariah Trust Fund (ARSTF), susulan pelarasan menurun nilai aset bersih (NAV) dana berkenaan kepada RM0.6611 seunit pada 10 November 2026.

 

KGB berkata pihak pengurusan masih menilai jumlah boleh pulih pelaburan itu, manakala kesan kewangan daripada pelarasan nilai berkenaan akan diambil kira dalam keputusan kewangan suku keempat 2026. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved