
Harga RON95 & Diesel Tanpa Subsidi Naik Mulai Esok
Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan harga RON95 dan diesel tanpa subsidi naik sebanyak 5 sen dan 10 sen.
Dalam satu kenyataan, MOF berkata perubahan harga itu berkuat kuasa dari 16 Julai hingga 22 Julai.
Menurutnya, RON95 naik 5 sen iaitu dari RM3.37 seliter sebelum ini kepada RM3.42 seliter.
Diesel yang naik 10 sen pula menyaksikan harga terkini RM4.07 seliter daripada RM3.97 seliter sebelum ini.
Manakala, harga RON97 pula tiada perubahan.
MOF berkata harga produk petroleum tanpa subsidi dipengaruhi oleh pergerakan pasaran minyak dunia pada minggu terdahulu.
Baca juga:
BUDI Diesel: Fi Tukar Hak Milik Dikecualikan, Subsidi Boleh Dipindah Kepada Pengguna Sebenar - MOF
MOF Beri Amaran Keras Penggunaan MyKad Orang Lain Tanpa Izin Bagi Transaksi BUDI95
"Serangan baharu Amerika Syarikat ke atas Iran serta kebimbangan terhadap keselamatan laluan perdagangan di Selat Hormuz telah meningkatkan semula premium risiko minyak mentah dan kos penghantaran.
"Harga minyak mentah Brent telah mencecah AS$85 setong, meningkat sekitar 20% dalam tempoh dua minggu.
"Selagi konflik ini belum mencapai penyelesaian muktamad, harga produk petroleum dijangka terus dibelenggu oleh ketidaktentuan pasaran global," ujar MOF.

Kementerian itu memaklumkan walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, kerajaan menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.
Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.





