RON95 tanpa subsidi naik 5 sen, diesel meningkat 10 sen

LocalBusiness & Finance
15 Jul 2026 • 8:58 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: RON95 tanpa subsidi naik 5 sen, diesel meningkat 10 sen
Harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi minggu 16 hingga 22 Julai naik masing-masing 5 sen dan 10 sen berkuatkuasa Rabu selaras dengan harga pasaran petroleum antarabangsa. Foto hiasan

SHAH ALAM - Harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi meningkat lima sen seliter kepada RM3.42, manakala diesel tanpa subsidi naik 10 sen kepada RM4.07 seliter bagi tempoh 16 hingga 22 Julai depan susulan peningkatan risiko geopolitik di Asia Barat.

Kementerian Kewangan (MoF) berkata, harga runcit RON97 pula dikekalkan pada RM4.00 seliter berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

Menurut kementerian itu, kenaikan harga produk petroleum tanpa subsidi dipengaruhi pergerakan pasaran minyak dunia pada minggu lalu berikutan serangan baharu Amerika Syarikat ke atas Iran dan kebimbangan terhadap keselamatan laluan perdagangan di Selat Hormuz.

"Situasi tersebut meningkatkan semula premium risiko minyak mentah dan kos penghantaran.

"Harga minyak mentah Brent turut mencecah AS$85 setong, meningkat kira-kira 20 peratus dalam tempoh dua minggu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, harga bahan api bersubsidi di bawah inisiatif Budi Madani kekal tidak berubah iaitu Budi Madani RON95 (BUDI95) pada RM1.99 seliter dan BUDI Madani Diesel (BUDI Diesel) pada RM2.10 seliter.

Harga diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) turut dikekalkan pada RM2.15 seliter, manakala Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kekal RM2.05 seliter.

Kementerian berkata, rakyat Malaysia yang layak masih boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad menerusi skim BUDI95 dan BUDI Diesel tertakluk kepada syarat kelayakan serta baki kuota bulanan masing-masing.

MoF menjelaskan, selagi konflik berkenaan belum mencapai penyelesaian muktamad, harga produk petroleum dijangka terus dipengaruhi ketidaktentuan pasaran minyak dunia.

Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan bekalan bahan api negara ketika ini masih mencukupi.

Sehubungan itu, orang ramai disaran mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat termasuk merancang perjalanan dengan lebih cekap dan mengurangkan perjalanan tidak perlu bagi membantu mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi kerajaan.

Menurutnya, Kerajaan Madani akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada kesan turun naik harga bahan api di samping memastikan bekalan negara kekal stabil dan terjamin.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved