Harga RON97 turun 50 sen, RON95 tanpa subsidi susut 40 sen mulai 12 November

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2026 • 8:26 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Harga RON97 turun 50 sen, RON95 tanpa subsidi susut 40 sen mulai 12 November

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing turun sebanyak 50 sen, 40 sen dan 25 sen seliter bagi tempoh 12 Nov hingga 18 Nov ini.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bagi tempoh tersebut, harga RON97 ditetapkan pada RM4.20 seliter berbanding RM4.70 sebelum ini, RON95 tanpa subsidi pada harga RM3.87 seliter berbanding RM4.27 dan diesel tanpa subsidi pula ditetapkan pada RM4.87 seliter berbanding RM5.12.

Pada masa yang sama, harga petroleum bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter bagi RON95 mengikut BUDI MADANI RON95 (BUDI95) manakala RM2.10 seliter bagi diesel berdasarkan program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel).

Harga bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pula masing-masing kekal pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Menurut MOF, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.88 seliter bagi pengguna yang layak BUDI95, bersamaan dengan kira-kira 49 peratus daripada harga RON95 tanpa subsidi semasa.

Bagi BUDI Diesel pula, subsidi ditanggung adalah RM2.77 seliter atau 57 peratus daripada harga diesel tanpa subsidi.

Dalam pada itu, MOF memaklumkan harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau menurun dalam tempoh pengiraan Mekanisme Harga Automatik (APM), seiring dengan penyusutan harga minyak mentah dunia dan peningkatan bekalan bahan api bertapis di pasaran serantau.

“Walau bagaimanapun, selagi konflik di Iran belum mencapai penyelesaian, harga petroleum dunia kekal terdedah kepada turun naik ketara. Serangan terbaharu terhadap kapal tangki di Selat Hormuz menunjukkan risiko gangguan bekalan masih wujud,” menurut kenyataan itu.

Menurut MOF, Kerajaan MADANI kekal komited melindungi rakyat dan perniagaan melalui pelaksanaan subsidi bahan api bersasar BUDI MADANI.

Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027, subsidi bahan api dijangka kekal tinggi sekitar RM40 bilion pada tahun hadapan bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.

MOF memaklumkan melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan.

“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” menurut MOF.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved