
PUTRAJAYA- Harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 12 hingga 18 November dilaporkan turun sebanyak 25 sen iaitu daripada RM5.12 kepada RM4.87 seliter.
Kementerian Kewangan berkata, RON95 juga turun sebanyak 40 sen iaitu daripada RM4.27 kepada RM3.87 seliter.
Sementara itu, RON97 juga turun sebanyak 50 sen daripada RM4.70 kepada RM4.20 seliter.
“Harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau menurun dalam tempoh pengiraan APM, seiring dengan penyusutan harga minyak mentah dunia dan peningkatan bekalan bahan api bertapis di pasaran serantau.
“Walau bagaimanapun, selagi konflik di Iran belum mencapai penyelesaian, harga petroleum dunia kekal terdedah kepada turun naik ketara,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Kementerian Kewangan berkata, serangan terbaharu terhadap kapal tangki di Selat Hormuz menunjukkan risiko gangguan bekalan masih wujud.
“Kerajaan Madani kekal komited melindungi rakyat dan perniagaan melalui pelaksanaan subsidi bahan api bersasar Budi Madani.
“Seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027, subsidi bahan api dijangka kekal tinggi sekitar RM40 bilion pada tahun hadapan bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup,” katanya.
Jelas Kementerian Kewangan, melalui Budi95, penerima yang layak terus menikmati harga RON95 pada RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM3.87 seliter.
“Ini bermakna kerajaan menanggung subsidi RM1.88 bagi setiap liter, bersamaan 49 peratus daripada harga tanpa subsidi,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Harga RON97 turun 50 sen, RON95 turun 40 sen appeared first on Kosmo Online.






