Harga ubat berisiko naik sehingga 50% jika konflik AS-Iran berlarutan — MBSB Research

LocalHealth & Fitness
14 Oct 2026 • 9:49 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Harga ubat berisiko naik sehingga 50% jika konflik AS-Iran berlarutan — MBSB Research Image from: Harga ubat berisiko naik sehingga 50% jika konflik AS-Iran berlarutan — MBSB Research sarah14/10/2026 - 09:49 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Okt - Harga ubat-ubatan di Malaysia berisiko meningkat sehingga 50% sekiranya konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran berlarutan melebihi enam bulan, susulan gangguan rantaian bekalan global dan kenaikan kos bahan mentah, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, risiko berkenaan boleh meningkatkan tekanan terhadap industri farmaseutikal tempatan yang masih bergantung kepada bekalan import, sekali gus menjejaskan kos perolehan ubat serta kemampuan sistem kesihatan mengekalkan akses kepada rawatan pada harga berpatutan.

 

Menurutnya, pergantungan terhadap sumber luar menjadikan bekalan ubat negara terdedah kepada gangguan logistik, kenaikan kos pengangkutan dan kekurangan bahan farmaseutikal aktif (API), terutama ketika ketegangan geopolitik menjejaskan laluan perdagangan antarabangsa.

 

Malaysia mengimport 61.24% daripada nilai pasaran farmaseutikalnya pada 2025, manakala kebergantungan terhadap sumber asing bagi produk ubat siap dan API dianggarkan sekitar 80%, berdasarkan data dalam bahan kajian berkenaan.

 

MBSB Research berkata, kenaikan kos input dan gangguan bekalan berpotensi memberi tekanan kepada pengeluar serta pengedar ubat, khususnya syarikat yang terikat dengan kontrak bekalan pada harga tetap dan mempunyai ruang terhad untuk memindahkan peningkatan kos kepada pelanggan.

 

Keadaan itu turut menimbulkan risiko kepada sistem penjagaan kesihatan awam sekiranya kos perolehan meningkat ketika kerajaan perlu memastikan bekalan ubat penting kekal mencukupi dan mampu dibeli.

 

ubt

 

Bagi mengurangkan risiko tersebut, kerajaan memperkenalkan inisiatif MyMedSecure, sistem amaran awal gangguan bekalan enam bulan serta simpanan penampan strategik ubat untuk meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi gangguan bekalan.

 

Langkah berkenaan dijangka mendorong pengeluar tempatan memperkukuh pengeluaran ubat generik, API dan biosimilar, selain mempelbagaikan sumber bahan mentah bagi mengurangkan kebergantungan kepada negara pembekal tertentu.

 

MBSB Research berpandangan usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran domestik penting bagi memastikan bekalan ubat lebih berdaya tahan dalam jangka panjang, terutama ketika permintaan terhadap rawatan kronik meningkat susulan populasi Malaysia yang semakin menua.

 

Dalam hal ini, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Kertas Putih Kesihatan dan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara 2021–2030 menjadi antara kerangka dasar yang menyokong pembangunan industri farmaseutikal tempatan dan pengurangan kebergantungan import.

 

Walaupun risiko kenaikan harga menjadi kebimbangan jangka pendek, MBSB Research menjangkakan pasaran farmaseutikal Malaysia berkembang daripada RM15.7 bilion pada 2025 kepada RM21.4 bilion menjelang 2030, didorong peningkatan permintaan ubat-ubatan dan perubahan demografi.

 

Firma itu mengekalkan pandangan positif terhadap subsektor farmaseutikal dengan menamakan Pharmaniaga Bhd sebagai pilihan utama, berikutan peranannya dalam pengedaran ubat sektor awam serta potensi perniagaan biopharma. Duopharma Biotech Bhd turut berpotensi mendapat manfaat daripada permintaan ubat generik dan biosimilar serta usaha memperkukuh pengeluaran tempatan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved