sarah12/10/2026 - 15:31 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Okt - Indeks harga seunit besi meningkat antara 0.1% hingga 5.1% bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada September 2026 berbanding bulan sama tahun lalu, dengan kenaikan tertinggi dicatatkan di Perak.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, Perak merekodkan peningkatan tertinggi sebanyak 5.1%, diikuti Johor (4.8%) dan Tawau (3.8%).
“Perbandingan tahunan bagi tempoh September 2025 dan September 2026 menunjukkan indeks harga seunit besi telah merekodkan peningkatan antara 0.1% hingga 5.1% bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” menurut DOSM dalam laporan Siaran Khas untuk Kerja-kerja Pembinaan Bangunan dan Struktur, September 2026.
Bagaimanapun, secara bulanan, indeks harga seunit besi mencatatkan penurunan antara 0.2% hingga 1.6% di beberapa kawasan pada September 2026 berbanding Ogos.
DOSM berkata penurunan tertinggi direkodkan di Johor sebanyak 1.6%, diikuti Sibu dan Miri, masing-masing 1.3%.
Sementara itu, indeks harga seunit simen meningkat antara 0.3% hingga 1.9% secara bulanan di beberapa kawasan pada September 2026.
“Peningkatan dicatatkan di Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan sebanyak 1.9%, diikuti Kota Kinabalu dan Kuching, masing-masing 0.3%,” menurut DOSM.

Dari segi tahunan, indeks harga seunit simen meningkat antara 0.6% hingga 7.4% di seluruh kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pada September 2026 berbanding bulan sama tahun lalu.
Kenaikan tertinggi dicatatkan di Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan sebanyak 7.4%, diikuti Kuching (7.0%) dan Miri (6.6%).
DOSM turut melaporkan purata harga simen Ordinary Portland kekal tidak berubah pada RM25.80 bagi setiap beg seberat 50 kilogram.
Dalam pada itu, purata harga seunit besi yang merangkumi bar bulat keluli lembut dan bar keluli tegangan tinggi bercorak Mycon 60 turun 2.4% kepada RM3,431.90 bagi setiap tan metrik pada September 2026 berbanding RM3,484.20 pada Ogos.
Bagi indeks kos bahan binaan bangunan (IKB) termasuk bar keluli, perbandingan bulanan menunjukkan penurunan antara 0.1% hingga 1.3% di Semenanjung Malaysia pada September 2026.
Di Sabah, IKB termasuk bar keluli menurun antara 0.1% hingga 0.7% bagi hampir semua kategori bangunan, manakala Sarawak merekodkan penurunan antara 0.1% hingga 0.5% bagi semua kategori bangunan.
Laporan DOSM itu menyediakan indeks harga seunit bahan binaan terpilih serta IKB mengikut kategori bangunan dan kawasan bagi September 2026. - DagangNews.com






