
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui perayaan terbesar di Sabah iaitu Pesta Kaamatan akan disambut pada 30 dan 31 Mei manakala Sarawak pula akan menyambut Hari Gawai pada 1 dan 2 Jun setiap tahun.
Bagi sesetengah orang, ada yang menganggap ia sebagai satu perayaan sama yang meraikan penghujung musim menuai padi namun sebenarnya terdapat perbezaan di antara dua hari istimewa ini.
Jadi apa yang membezakan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai? Jom kami kongsikan jawapannya.
Siapa Yang Sambut Pesta Kaamatan & Hari Gawai?
Bagi Pesta Kaamatan, ia disambut oleh masyarakat Kadazan-Dusun, Murut dan Rungus di Sabah.
Manakala, Hari Gawai Dayak disambut oleh masyarakat Dayak di Sarawak khususnya kaum Iban dan Bidayuh.
Tujuan Sambutan Pesta Kaamatan & Hari Gawai
Meskipun kedua-duanya meraikan tamatnya musim menuai padi namun ada perbezaan tujuan sambutan ini.
Selain meraikan musim penghujung menuai, Pesta Kaamatan disambut bagi memohon kesuburan tanah pada musim tanaman yang akan datang.
Memetik satu hantaran oleh teamselangorofficial, ia juga adalah satu perayaan bagi menghargai Kinorohingan iaitu tuhan mereka yang telah mengorbankan anak perempuannya, Huminodun sebagai padi bagi mengelakkan masyarakat setempat kebuluran.
Manakala, Hari Gawai pula disambut untuk memohon keselamatan serta kemakmuran masyarakat Dayak.
Bagaimana Pesta Kaamatan & Hari Gawai Diraikan?
Pasti ramai tertanya-tanya bagaimana pula cara kedua-dua perayaan ini disambut.
Memetik laman iloveborneo, Pesta Kaamatan akan disambut dengan acara utamanya iaitu pertandingan Unduk Ngadau yang merupakan pertandingan ratu cantik Kaamatan.
Malah, tarian tradisional yang dikenali sebagai tarian Sumazau juga akan dipersembahkan ketika perayaan ini.
Bukan itu sahaja, Pesta Kaamatan turut mempunyai persembahan ritual yang dikendalikan oleh golongan rahib wanita dalam tradisi budaya Kadazan-Dusun yang digelar sebagai Bobolian.
Bobolian memainkan peranan penting dalam menyemah atau memberikan penghormatan di tapak tanaman untuk memastikan tanaman mereka berjaya pada tahun hadapan.

Bagaimana pula dengan sambutan Hari Gawai? Adakah sama seperti Pesta Kaamatan?
Menurut Jabatan Perpaduan Sarawak dalam satu hantaran di Facebook, masyarakat di Sarawak percaya bahawa padi mempunyai semangat yang perlu dihormati.
Jadi, mereka akan meraikannya dengan melakukan beberapa upacara bagi memastikan padi sentiasa terjaga.
Berdasarkan hantaran oleh teamselangorofficial, upacara utama yang diraikan ketika Hari Gawai adalah upacara miring iaitu upacara kesyukuran ke atas tuhan untuk hasil tuaian.
Ia dilakukan ketika matahari terbenam dan diketuai oleh ketua festival dengan mengorbankan ayam jantan sebagai hadiah kepada tuhan
Malah, masyarakat Iban juga mempunyai tarian popular bagi meraikan hari istimewa ini iaitu tarian ngajat.

Makanan Tradisional Yang Dihidang Ketika Pesta Kaamatan & Hari Gawai
Sudah menjadi kebiasaan, setiap budaya di Malaysia pasti ada makanan tradisional yang dihidang bagi memeriahkan lagi perayaan itu.
Ketika Pesta Kaamatan, antara hidangan tradisional popular yang dijamu adalah:
- Buah Bambangan
- Tuhau (halia liar tempatan)
- Linopot (nasi yang dibalut dalam daun)
- Hinava (ikan segar yang dicampurkan dengan biji buah bambangan yang telah diparut)
- Ambuyat (sajian utama selepas nasi yang diperbuat daripada sagu rumbia)
- Minuman keras yang dikenali sebagai tapai

Hidangan tradisional yang popular pada Hari Gawai pula adalah:
- Ayam pansuh (ayam yang dimasak dalam buluh)
- Pulut iban
- Penganan (hidangan kuih tradisional seperti Kuih Acuan, Sarang Engkerawai dan Penyaram)
- Umai (ikan yang dihiris halus dan dibuang tulang)
- Minuman keras seperti tuak dan langkau

Jadi, dah nampak perbezaan kedua-dua perayaan ini?
Meskipun tarikh sambutannya agak dekat dan diraikan oleh rakyat Malaysia di Borneo, ia sememangnya mempunyai perbezaan khususnya dari segi cara sambutan dan makanan tradisi yang dihidangkan.
Baca Artikel Berkaitan:
“Ni Baru Identiti Malaysia!” – Kemeriahan Borneo Native Festival Di KL Buat Ramai Teruja [Video]






