Hari Guru: PM hargai pengorbanan pendidik bina negara

LocalPolitics
16 May 2026 • 10:02 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Hari Guru: PM hargai pengorbanan pendidik bina negara

SHAH ALAM, 16 MEI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap jasa, pengorbanan dan dedikasi guru yang disifatkan sebagai tunjang pembinaan anak bangsa serta pembentuk akhlak dan ketamadunan negara.

Menerusi perutusan sempena sambutan Hari Guru hari ini di Facebook, beliau berkata warga pendidik memainkan peranan penting dalam mencorakkan nilai, adab dan jati diri generasi masa depan negara.

Menurutnya, pengalaman sebagai tenaga pengajar ketika menubuhkan Yayasan Anda Akademik pada awal 1970-an memberi pemahaman mendalam mengenai tanggungjawab sebenar seorang guru dalam kehidupan masyarakat.

Katanya, ketika itu ramai anak muda daripada keluarga susah dan tercicir daripada pendidikan hadir dengan kegelisahan terhadap masa depan mereka.

“Pengalaman itu mengajar saya bahawa tugas seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membina keyakinan, mengangkat maruah insan dan menanam harapan serta cita-cita dalam kehidupan,” katanya.

Anwar berkata cabaran dunia yang semakin kompleks menjadikan peranan guru semakin penting dalam membentuk generasi berakhlak dan berjiwa besar.

Beliau menegaskan kekuatan ilmu perlu diseimbangkan dengan nilai kemanusiaan serta kebijaksanaan selaras citra Malaysia MADANI.

“Tanpa nilai dan adab, pembangunan hanya akan melahirkan kemajuan yang kehilangan arah,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau mendoakan seluruh warga pendidik terus dikurniakan kekuatan, kecekalan dan iltizam dalam mendidik anak bangsa demi masa depan negara yang lebih maju, sejahtera dan mampan.

“Selamat Hari Guru - Guru Bitara Nadi Negara,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved