
Hari Inovasi Nuklear Malaysia & TPS 2025, Sokong Aspirasi DTNN 2030 & RMK-13
Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah menganjurkan Hari Inovasi Nuklear Malaysia (HINM) dan Technology Preview & Showcase (TPS) 2025 yang berlangsung selama dua hari bermula 3 dan 4 September 2025 di Bangi. Program ini telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Muhammad Rawi bin Mohammed Zin, Ketua Pengarah, Agensi Nuklear Malaysia. Turut hadir ialah wakil daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), agensi kerajaan, universiti, persatuan dan industri.

Penganjuran HINM bertujuan memberi penghargaan kepada penyelidik yang terlibat dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi manakala TPS pula berperanan sebagai platform pemadanan antara penyelidik dengan pihak industri dan agensi kerajaan bagi memperkukuh kerjasama strategik serta memperkenalkan produk dan perkhidmatan Nuklear Malaysia.
Sejak tahun 2024, pertandingan inovasi di bawah HINM telah dijenamakan sebagai Anugerah Inovasi Nuklear Kebangsaan yang memperlihatkan persaingan sihat dalam memacu hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) berteraskan sains serta teknologi nuklear. Tahun ini, lebih 50 penyertaan telah diterima dengan 35 daripadanya berjaya ke peringkat akhir. Anugerah Inovasi Nuklear Kebangsaan dibuka kepada enam sektor utama iaitu bidang perubatan & penjagaan kesihatan, makanan & pertanian, pembuatan peranti & peralatan, pengurusan alam sekitar & sumber asli, aplikasi perindustrian dan keselamatan & sekuriti.

Penganjuran kali ini turut selari dengan aspirasi Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 yang menjadi hala tuju utama negara dalam memacu pembangunan dan aplikasi teknologi nuklear secara selamat, bertanggungjawab dan berimpak tinggi kepada rakyat. Teknologi nuklear yang merupakan salah satu komponen STI, memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor sosioekonomi negara. Kemajuan pesat teknologi nuklear dan integrasinya dengan teknologi baharu muncul,seperti nanoteknologi, bioteknologi, dan teknologi digital mempunyai potensi besar kepada pembangunan sosioekonomi negara.

Selain itu, program ini juga menyokong pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi penekanan terhadap penguasaan teknologi maju dan inovasi termasuk teknologi nuklear sebagai pemacu kepada transformasi ekonomi negara. Selaras dengan RMK13, Nuklear Malaysia komited memperkukuh penyelidikan dan pengkomersialan teknologi nuklear bagi menyumbang kepada agenda pembangunan mampan, kesejahteraan rakyat serta daya saing negara di peringkat global.

Dengan tema “Nuklear Untuk Rakyat (NUR)”, HINM & TPS 2025 menyediakan pelbagai pengisian seperti pertandingan Anugerah Inovasi Nuklear Kebangsaan, aktiviti sudut sains, lawatan ke fasiliti utama Nuklear Malaysia, seminar dan klinik harta intelek, taklimat dana penyelidikan, padanan perniagaan serta pameran produk dan perkhidmatan.

Penganjuran ini membuktikan komitmen Nuklear Malaysia dalam memperkukuh ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi serta mendekatkan teknologi nuklear dengan masyarakat, seterusnya merealisasikan matlamat DTNN 2030 dan aspirasi RMK13.
The post Hari Inovasi Nuklear Malaysia & TPS 2025, Sokong Aspirasi DTNN 2030 & RMK-13 appeared first on Siakap Keli.





